
Kota Kinabalu: Eksport babi hidup dari Sarawak ke Selangor menjadi tumpuan kontroversi walaupun aturan itu telah dilaksanakan sejak Julai 2025 sekali gus mendorong Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin (gambar) menolak dakwaan bahawa ia dasar baharu atau dilaksanakan tanpa kawalan sewajarnya.
Chan berkata import itu diluluskan berdasarkan prosedur pelesenan dan operasi yang ketat, dengan aturan berkenaan telah diumumkan dan dijelaskan di Parlimen jauh sebelum pertikaian terbaharu timbul.
Beliau berkata adalah mengelirukan untuk menggambarkan dasar itu sebagai perkembangan baharu, sambil menegaskan bahawa eksport berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menstabilkan bekalan daging babi dan harga pasaran susulan gangguan terhadap industri penternakan babi akibat Demam Babi Afrika (ASF).
Bagi Sarawak, isu itu memberi tumpuan kepada peranan negeri berkenaan sebagai pembekal babi hidup ke luar sempadannya, selain menimbulkan persoalan mengenai cara piawaian kesihatan haiwan, biosekuriti dan pengangkutan dikekalkan sepanjang rantaian eksport.
Chan berkata aturan itu diumumkan pada Julai 2025 oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom semasa majlis pemuatan rasmi di Pelabuhan Pending.
Penjelasan lanjut turut diberikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ketika itu Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang kini Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi soalan lisan dan jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Chan turut merujuk penjelasan daripada Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim bahawa negeri itu membenarkan import berkenaan dengan syarat yang ketat.
Babi berkenaan mesti dihantar terus ke rumah sembelih di Rawang tanpa dibenarkan berhenti di lokasi lain.
Di Pelabuhan Klang, proses pemunggahan hanya dibenarkan antara jam 8 malam hingga 5 pagi. Haiwan berkenaan dipindahkan menggunakan sangkar khas yang direka bentuk untuk tujuan itu, sebelum terus dimuatkan ke dalam lori bagi penghantaran ke rumah sembelih.
Chan berkata prosedur itu dirangka bagi meminimumkan tempoh pengendalian, memastikan operasi berjalan teratur serta mengurangkan risiko pencemaran dan gangguan terhadap alam sekitar.
Beliau menolak dakwaan bahawa operasi itu menjejaskan kebersihan pelabuhan, sambil menegaskan bahawa dakwaan sedemikian perlu disokong bukti yang boleh dipercayai dan dinilai berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Pada April tahun ini, Chan melawat sebuah ladang babi moden di Simunjan, Sarawak bagi meninjau operasi dan prosedur pengeksportan babi hidup ke Singapura dan Selangor.
Katanya, beliau menyaksikan pelaksanaan langkah biosekuriti yang ketat termasuk penggunaan kapal pengangkut ternakan yang memenuhi spesifikasi ditetapkan sekali gus menekankan kepentingan mengurus risiko kesihatan haiwan sepanjang proses pengangkutan.
Chan turut mengkritik tindakan mengaitkan isu itu dengan titah Sultan Selangor berdasarkan maklumat yang disifatkannya tidak tepat.
Beliau menggesa semua pihak supaya bergantung pada fakta yang telah disahkan dan membincangkan perkara itu secara profesional, selain memberi amaran agar kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kebimbangan awam yang tidak perlu dielakkan.






