
PETALING JAYA: Eksport peranti perubatan Malaysia ke Brazil melonjak 66.1 peratus kepada RM109.1 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sekali gus membuka ruang baharu kepada pengeluar tempatan untuk memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai industri kesihatan global.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, pertumbuhan ketara itu didorong permintaan tinggi terhadap bahan guna habis perubatan berkualiti tinggi di negara Amerika Latin berkenaan.
“Peningkatan eksport tersebut selari dengan pertumbuhan 4.9 peratus penggunaan bahan penjagaan kesihatan di Brazil pada suku pertama 2026, ketika negara itu terus meningkatkan pelaburan dalam sektor kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Matrade, pengeluar Malaysia mempunyai kelebihan dalam pengeluaran produk guna habis berjumlah tinggi seperti picagari, kateter dan kanula, berbanding syarikat multinasional yang lebih tertumpu kepada peralatan perubatan berteknologi tinggi.
“Pada masa sama, kenaikan harga peralatan perubatan berteknologi tinggi di Brazil sebanyak 27.4 peratus mendorong rangkaian hospital tempatan mencari pembekal yang menawarkan produk berkualiti premium pada harga lebih kompetitif.
“Produk Malaysia juga memenuhi piawaian antarabangsa yang ketat termasuk kelulusan FDA, pensijilan CE Marking dan ISO 13485, menjadikannya pilihan menarik kepada pegawai perolehan hospital di Brazil,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, pertumbuhan eksport yang kukuh itu membuktikan kemampuan pengeluar Malaysia memenuhi standard global yang tinggi.
“Pertumbuhan 66.1 peratus eksport peranti perubatan ke Brazil menunjukkan pengeluar Malaysia sangat berupaya memenuhi piawaian antarabangsa yang ketat.
“Ketika Brazil berdepan peningkatan kos penjagaan kesihatan, terdapat peluang strategik kepada syarikat Malaysia termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membekalkan bahan guna habis perubatan berkualiti tinggi pada harga kompetitif kepada pasaran besar itu,” katanya.
Menurut beliau, Matrade São Paulo baru-baru ini mengadakan libat urus dengan beberapa pemain utama industri kesihatan Brazil termasuk Descarpack, Magnamed, FANEM, Scitech dan Instramed yang menunjukkan minat komersial segera terhadap produk Malaysia.
“Syarikat-syarikat pengedar tersebut sedang mempelbagaikan rantaian bekalan mereka dan mengenal pasti Malaysia sebagai rakan pilihan bagi bekalan bahan guna habis secara pukal serta pengilangan kontrak OEM.
“Sehubungan itu, Matrade sedang memudah cara sesi padanan perniagaan secara langsung antara syarikat Malaysia dan pembeli Brazil bagi membantu pengeluar tempatan mendapatkan perjanjian jenama persendirian serta membina kerjasama jangka panjang di rantau Amerika Latin,” katanya.
Perkembangan positif itu turut disokong pengukuhan hubungan dua hala susulan penyertaan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Komitmen yang dimeterai menerusi ASEAN-Brazil Practical Cooperation Areas (PCA) 2024-2028 dijangka mempercepatkan kepelbagaian rantaian bekalan dan mewujudkan persekitaran kawal selia yang lebih kondusif kepada eksport peranti perubatan Malaysia ke Brazil. –UTUSAN
The post Eksport peranti perubatan Malaysia ke Brazil melonjak 66.1 peratus appeared first on Utusan Malaysia.





