
PETALING JAYA – Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan meningkat kepada 34.4 juta orang tahun ini berbanding 34.2 juta pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 0.5 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pertambahan itu didorong peningkatan bilangan penduduk warganegara daripada 30.8 juta kepada 31 juta orang.
Menurut DOSM, kadar pertumbuhan penduduk warganegara kekal pada 0.6 peratus, manakala bagi bukan warganegara bertambah baik daripada negatif 0.5 peratus pada 2025 kepada negatif 0.2 peratus tahun ini.
“Komposisi penduduk warganegara turut meningkat daripada 90.1 peratus kepada 90.2 peratus, manakala bukan warganegara menurun daripada 9.9 peratus kepada 9.8 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan sama, DOSM mendedahkan di peringkat negeri, Selangor kekal sebagai negeri paling ramai penduduk dengan 7.5 juta orang atau 21.7 peratus daripada keseluruhan populasi negara.
Selain itu, katanya, Johor berada di kedudukan kedua dengan 4.2 juta penduduk, diikuti Sabah sebanyak 3.8 juta orang.
Dapatan itu turut memaparkan Perak dan Sarawak masing-masing merekodkan 2.6 juta dan 2.5 juta penduduk, sekali gus melengkapkan lima negeri paling ramai penduduk di Malaysia.
Dari segi pertumbuhan tahunan, DOSM berkata, Terengganu mencatat kadar tertinggi iaitu 1.2 peratus, diikuti Kelantan sebanyak 1.0 peratus.
Jelasnya, Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula, masing-masing merekodkan pertumbuhan 0.6 peratus. – KOSMO! ONLINE
The post Penduduk Malaysia kini berjumlah 34.4 juta appeared first on Kosmo Digital.






