Eksport produk getah Malaysia ke India bernilai AS$141.1 juta pada 2025 - Noraini

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2026 • 2:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport produk getah Malaysia ke India bernilai AS$141.1 juta pada 2025 - Noraini Image from: Eksport produk getah Malaysia ke India bernilai AS$141.1 juta pada 2025 - Noraini liza01/10/2026 - 14:47 Noraini (tengah) selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat bersama pemain industri getah India di Mumbai, India Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt – Malaysia mahu memperkukuh hubungan perdagangan dengan India bagi memperluas pasaran produk getah termasuk sarung tangan perubatan susulan nilai eksport produk berkenaan ke negara itu mencecah AS$141.1 juta pada 2025.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, India merupakan antara pasaran penting bagi produk getah Malaysia dengan sarung tangan getah menyumbang 63.4% daripada keseluruhan nilai eksport tersebut.

 

Beliau yang mempengerusikan perbincangan meja bulat bersama pemain industri getah India di Mumbai, India pada Khamis juga membincangkan perkembangan sektor produk getah serta meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua negara.

 

Fokus perluas peluang pemain industri

Beliau berkata perbincangan antara kerajaan dan pemain industri kedua-dua negara turut menyentuh beberapa perkara berkaitan perdagangan produk getah, termasuk keperluan terhadap peraturan yang jelas.

 

“Akses pasaran dan keyakinan terhadap kualiti produk turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam perbincangan tersebut.

 

“Kerajaan berpandangan bahawa dialog berterusan antara kedua-dua negara penting bagi membolehkan isu berkaitan perdagangan dibincangkan dan ditangani secara konstruktif.

 

“Pendekatan itu juga dilihat penting bagi menyokong perdagangan yang adil dan telus antara Malaysia dan India,” katanya menerusi Facebook rasmi Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini.

 

Perkukuh kerjasama ekonomi dua negara

Pada masa sama, Malaysia akan terus meneroka peluang bagi memperluas kerjasama dengan pemain industri India dalam sektor berkenaan.

 

Langkah itu termasuk memberi perhatian kepada perkembangan produk getah serta peluang pasaran yang boleh dimanfaatkan oleh industri kedua-dua negara.

 

Noraini mengetuai misi rasmi Malaysia ke India dari 27 September lalu bagi memperkukuh hubungan perdagangan dalam sektor sawit dan getah, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit serta produk berasaskan sawit yang mampan dan boleh dipercayai.

 

Misi itu turut bertujuan memperluas kerjasama antara kerajaan dan sektor perniagaan kedua-dua negara, termasuk meneroka peluang baharu dalam produk hiliran sawit serta sektor produk getah seperti sarung tangan perubatan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved