AWC intai peluang projek bandar pintar lain di India susulan kontrak GIFT City RM13.1 juta - JF Apex Securities

WorldBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AWC intai peluang projek bandar pintar lain di India susulan kontrak GIFT City RM13.1 juta - JF Apex Securities Image from: AWC intai peluang projek bandar pintar lain di India susulan kontrak GIFT City RM13.1 juta - JF Apex Securities hamden29/09/2026 - 09:49 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept - Penganugerahan kontrak AWC Bhd di India bernilai RM13.1 juta bagi projek sistem kutipan sisa automatik (AWCS) di Gujarat International Finance Tec-City (GIFT City) berpotensi membuka peluang kepada kumpulan untuk membida kontrak susulan di GIFT City serta pembangunan bandar pintar lain di negara itu, menurut JF Apex Securities. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak berkenaan menjadi bukti awal bahawa strategi pengembangan AWC ke India mula membuahkan hasil, selain menyediakan tapak rujukan untuk kumpulan membina rekod prestasi dalam pemasangan AWCS di pasaran tersebut.

 

Kata firma itu lagi, walaupun nilai kontrak RM13.1 juta itu relatif kecil, kepentingan utamanya terletak pada GIFT City sebagai pembangunan bandar pintar utama di Gujarat yang boleh menjadi tapak rujukan bagi AWC untuk meneroka peluang projek lain di India.

 

"Kejayaan pelaksanaan projek ini juga berpotensi menyokong penyertaan AWC dalam fasa pembangunan seterusnya di GIFT City, selain membuka ruang kepada kontrak baharu dalam pembangunan bandar pintar lain di negara berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini

 

AWC, menerusi anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya, Stream Industries Sdn Bhd (STREAM), memeterai dua perjanjian dengan Gujarat International Finance Tec-City Company Limited bagi menghubungkan pembangunan baharu di GIFT City, Gandhinagar, kepada rangkaian AWCS.

 

Kontrak Kawasan Tarif Domestik bernilai INR19.82 crore atau kira-kira RM8.4 juta termasuk GST, manakala kontrak Zon Ekonomi Khas bernilai INR11.03 crore atau kira-kira RM4.7 juta dan dikecualikan GST.

 

Kedua-dua kontrak mempunyai tempoh 36 bulan bermula daripada notis untuk memulakan kerja.

 

STREAM juga bercadang memindahkan kedua-dua perjanjian kepada entiti India yang baru diperbadankan selepas penubuhannya.

 

JF Apex Securities melihat kontrak tersebut sebagai langkah penting dalam membina rekod prestasi AWC di India, dengan strategi kumpulan kini disokong oleh kontrak yang telah ditandatangani serta rakan niaga berprofil tinggi.

 

Dengan andaian margin keuntungan selepas cukai (PAT) sekitar 14%, kontrak itu dianggarkan menjana PAT kira-kira RM1.8 juta sepanjang tempoh 36 bulan, bersamaan kira-kira RM600,000 setahun.

 

Sumbangan tahunan tersebut dianggarkan mewakili sekitar 2% daripada unjuran keuntungan bersih teras FY27F sebanyak RM29.4 juta.

 

Sementara itu, dengan mengambil kira kontrak AWCS RM13.1 juta tersebut serta kontrak pusat data bernilai RM23.1 juta yang diperoleh pada Ogos 2026, buku pesanan AWC dianggarkan meningkat kepada kira-kira RM860.5 juta, bersamaan 1.9 kali hasil FY26.

 

Penganalisis turut mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada kerana nilai kontrak India berkenaan telah diambil kira dalam anggaran kontrak India FY27F sebanyak RM45 juta.

 

Bahagian Alam Sekitar kekal sebagai pemacu utama yang boleh mempengaruhi prestasi kumpulan, dengan operasi di Malaysia dan Singapura dijangka kekal stabil, manakala Timur Tengah terus berdepan kelemahan susulan gangguan geopolitik.

 

Kontrak baharu di India itu mewakili kira-kira 29% daripada anggaran kontrak India AWC sebanyak RM45 juta bagi FY27F.

 

Dalam pada itu, bahagian Kejuruteraan mempunyai buku pesanan pusat data kira-kira RM100 juta, manakala bahagian Fasiliti disokong kontrak perkhidmatan pengurusan fasiliti (IFM) TM Technology Services bernilai RM99.1 juta.

 

JF Apex Securities mengekalkan saranan BELI terhadap AWC dengan harga sasaran jumlah bahagian (SOTP) RM1.22 sesaham secara dicairkan sepenuhnya.

 

AWC dinilai berdasarkan 15 kali pendapatan FY28F bagi bahagian Kejuruteraan, 13 kali bagi Alam Sekitar serta tujuh kali masing-masing bagi Fasiliti dan Rel. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved