El Nino- B40, warga emas, OKU antara kumpulan utama diberi perhatian

LocalEnvironment
12 May 2026 • 11:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: El Nino- B40, warga emas, OKU antara kumpulan utama diberi perhatian
Sundarajoo

GEORGE TOWN - Golongan B40, warga emas, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) menjadi antara kumpulan utama yang diberi perhatian dalam persediaan Kerajaan Pulau Pinang menghadapi cuaca panas ekstrem akibat fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, pelbagai langkah kesiapsiagaan telah dirangka bagi memastikan kumpulan rentan itu lebih bersedia menghadapi risiko gelombang haba dan bencana berkaitan cuaca ekstrem.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Unit Pengurusan Bencana (UPB) dengan kerjasama Think City melaksanakan program Penang Natured-Based Climate Adaptation Program (PNBCAP) yang menyediakan panduan latihan kesiapsiagaan gelombang haba dan banjir komuniti.

“Program ini memberi fokus kepada golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak, warga emas, penduduk berpendapatan rendah B40 dan OKU yang mempunyai akses terhad kepada maklumat fenomena semasa,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang DUN Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.

Sundarajoo (DAP-Perai) berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Fauzi Yusoff (Pas-Sungai Dua) berhubung kesiapsiagaan kerajaan negeri menghadapi cuaca panas ekstrem akibat fenomena El Nino di Pulau Pinang.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut memainkan peranan aktif memantau penyakit berkaitan haba berdasarkan amaran gelombang haba yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Katanya, pendidikan kesihatan dan nasihat berkaitan perlindungan ketika cuaca panas ekstrem juga disalurkan secara berterusan kepada masyarakat bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.

Dalam pada itu, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kewangan kepada mangsa bencana tanpa mengira status sosioekonomi.

“Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 diberikan kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana, manakala waris mangsa yang meninggal dunia menerima bantuan RM10,000.

“Selain itu, Bantuan Tabung Bencana Negeri Pulau Pinang turut disediakan berdasarkan tahap kerosakan kediaman dengan kadar maksimum RM10,000,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga memperkukuh sistem pemantauan cuaca, amaran awal dan kesiapsiagaan agensi bagi menghadapi kemungkinan bencana susulan seperti ribut dan puting beliung akibat perubahan cuaca ekstrem.

“Mengenai kesiapsiagaan menghadapi ribut dan puting beliung, kerajaan negeri memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu pemantauan dan amaran awal, penyelarasan agensi serta penyelenggaraan infrastruktur.

“METMalaysia sentiasa mengemas kini maklumat cuaca signifikan menerusi Sistem Penang Alert manakala Majlis Bandaraya Pulau Pinang membangunkan Modul Disaster and Weather Monitoring di bawah inisiatif Virtual Island of Penang bagi pemantauan cuaca masa nyata,” ujarnya.

Tambah beliau, kerja penyelenggaraan jalan, longkang, pemangkasan pokok serta pembaikan pusat pemindahan sementara turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan rakyat sekiranya berlaku bencana akibat cuaca ekstrem.