Isu scam tiada kesudahan

LocalTechnology
8 May 2026 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu scam tiada kesudahan
Golongan warga emas dan individu yang kurang pendedahan kepada teknologi sering menjadi sasaran utama kerana mereka lebih mudah percaya. Foto hiasan

ISU penipuan atau scammer di Malaysia dilihat seolah-olah tiada penghujungnya, malah semakin hari semakin canggih dan sukar dikesan.

Sebagai contoh baru-baru ini seorang pesara guru di Jertih, Terengganu kerugian RM91,062.44 selepas membuat 19 kali pemindahan wang melibatkan urusan pelaburan kripto tidak wujud yang diiklankan melalui aplikasi TikTok.

Mangsa seorang wanita berusia 58 tahun telah dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp, memujuk mangsa menyertai pelaburan berkenaan selepas tertarik iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan cepat dan lumayan.

Turut menjadi mangsa seorang guru wanita dari Raub yang kerugian RM431,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Kejadian pada 2 Februari lalu itu bermula selepas mangsa yang berusia 42 tahun menerima panggilan daripada individu yang menyamar pegawai syarikat takaful.

Ini sebahagian kes penipuan yang berlaku di negara kita. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dan institusi kewangan, statistik kes penipuan terus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar - mengapa jenayah ini begitu sukar dibendung?

Salah satu faktor utama adalah kemajuan teknologi yang bergerak lebih pantas berbanding kesedaran masyarakat.

Scammer kini tidak lagi menggunakan kaedah tradisional semata-mata, sebaliknya memanfaatkan platform digital seperti media sosial, aplikasi pesanan segera dan panggilan telefon berasaskan internet (VoIP).

Mereka juga semakin bijak menyamar. Taktik psikologi seperti menakut-nakutkan, menawarkan ganjaran lumayan atau mendesak mangsa bertindak segera menjadikan ramai terperangkap tanpa sempat berfikir panjang.

Selain itu, tahap literasi kewangan dan digital dalam kalangan masyarakat masih belum mencukupi. Ramai pengguna tidak memahami risiko berkongsi maklumat peribadi seperti nombor Nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC), kata laluan atau butiran kad bank.

Golongan warga emas dan individu yang kurang pendedahan kepada teknologi sering menjadi sasaran utama kerana mereka lebih mudah percaya.

Walaupun pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti kempen kesedaran dan pusat respons scam, cabaran utama adalah sifat jenayah ini yang merentas sempadan.

Banyak sindiket beroperasi dari luar negara, menjadikan usaha penguatkuasaan lebih kompleks dan memerlukan kerjasama antarabangsa. Tambahan pula, proses mengesan dan membekukan transaksi yang berlaku dalam masa singkat sering kali menjadi perlumbaan dengan masa.

Peranan institusi kewangan juga penting dalam menangani isu ini. Beberapa bank telah memperkenalkan ciri keselamatan tambahan seperti pengesahan berlapis dan had transaksi yang lebih ketat. Namun, langkah ini kadangkala menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna, sekali gus mencipta dilema antara keselamatan dan kemudahan.

Bagi menangani isu scammer secara lebih berkesan, pendekatan menyeluruh perlu diambil. Pendidikan awam harus diperkasakan secara berterusan, bukan sekadar kempen bermusim.

Masyarakat perlu dididik untuk sentiasa berwaspada, tidak mudah panik dan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum bertindak. Selain itu, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat amat penting dalam membina ekosistem digital yang lebih selamat.

Kesimpulannya, isu scammer bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dalam masa singkat. Ia merupakan cabaran berterusan yang memerlukan kesedaran, disiplin dan kerjasama semua pihak.

Selagi ada ruang kelemahan dan kelalaian, selagi itulah sindiket penipuan akan terus mencari peluang. Oleh itu, setiap individu perlu memainkan peranan dalam melindungi diri dan orang sekeliling daripada menjadi mangsa seterusnya.

*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Sub Editor Sinar Harian