El Nino: FAMA sedia wujud pusat stok bekalan hasil pertanian

LocalEnvironment
21 Aug 2026 • 6:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: El Nino: FAMA sedia wujud pusat stok bekalan hasil pertanian

SEREMBAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedia menjadikan 15 daripada 42 pusat operasinya di seluruh negara sebagai pusat utama menyediakan stok dan bekalan hasil pertanian sekiranya berlaku kekurangan hasil susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan logistik termasuk bilik sejuk dan pengangkutan bagi memastikan bekalan dapat disalurkan sekiranya keadaan menjadi kritikal.

“Di peringkat FAMA, kita bersedia untuk membuat intervensi dalam menghadapi kesan El Nino ataupun Super El Nino dengan menyediakan kemudahan logistik seperti bilik sejuk dan pengangkutan.

“Pada masa sama, kita akan menjadikan 15 pusat operasi daripada 42 yang ada di seluruh Malaysia sebagai pusat utama dalam menyediakan stok dan bekalan sekiranya berlaku kekurangan bekalan yang kritikal,” katanya selepas Majlis Perasmian Outlet Usahawan Kopiesatu Secara Pelesenan di Seremban 2, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, potensi fenomena El Nino mencapai kategori sangat kuat atau El Nino Super antara Oktober dan Disember kini melebihi 90 peratus.

Faisal Iswardi berkata, keadaan bekalan hasil pertanian ketika ini masih terkawal dan belum menunjukkan kesan ketara akibat fenomena El Nino.

“Setakat ini kita belum nampak lagi kesannya daripada El Nino kerana walaupun berlaku kemarau yang panjang, masih lagi ada hujan. Namun, di peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), semua jabatan dan agensi telah diarahkan untuk bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, FAMA akan terus memantau pergerakan harga hasil pertanian di peringkat ladang dan runcit setiap minggu bagi mengesan sebarang perubahan.

Katanya, berdasarkan pemantauan semasa, harga hasil pertanian di kedua-dua peringkat masih stabil dengan kenaikan antara dua hingga lima peratus.

Sementara itu, FAMA menyasarkan pembukaan 13 outlet Kopiesatu di hospital seluruh negara dalam tempoh empat tahun bermula tahun ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Beliau berkata, ketika ini Kopiesatu beroperasi di empat hospital iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Cyberjaya, Hospital Taiping, Perak dan Hospital Kota Bharu, Kelantan. Sebuah lagi cawangan akan dibuka di Hospital Kangar, Perlis pada hujung Oktober ini.

Faisal Iswardi berkata, pembukaan outlet berkenaan dibuat susulan permintaan pihak hospital selain sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Kami berharap kewujudan Kopiesatu ini dapat memberikan sedikit ruang kepada mereka (kakitangan hospital dan pengunjung) untuk berehat sambil menikmati suasana lebih santai dengan aroma kopi yang menyenangkan,” katanya. – UTUSAN

The post El Nino: FAMA sedia wujud pusat stok bekalan hasil pertanian appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved