El Nino jadi fokus Bajet 2027 KPKM

LocalEnvironment
18 Aug 2026 • 12:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: El Nino jadi fokus Bajet 2027 KPKM

KLANG – Fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada bekalan makanan merupakan antara fokus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam permohonan Bajet 2027 bagi menghadapi keperluan luar jangka.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dibincangkan bersama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam pertemuan semalam, selain peruntukan kepada agensi seperti Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurut beliau, permohonan tambahan itu mendapat perkembangan positif dan dijangka dapat membantu kementerian menghadapi El Nino yang bermula September dan lebih ketara pada tahun depan.

“Nampak positif semua permohonan daripada kita dan yakin pertambahan peruntukan kementerian ini dalam menghadapi El Nino,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Agrobank cawangan Klang di Bandar Botanik di sini, hari ini.

Beliau berkata, Agrobank juga bakal diberikan peranan lebih besar dalam menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pemain sektor agromakanan bagi memastikan pengeluaran makanan terus berdaya tahan sekiranya berlaku gangguan.

Katanya, peningkatan suhu laut akibat fenomena itu berpotensi menjejaskan hasil tangkapan ikan, selain memberi kesan kepada sektor agromakanan lain.

“Selalu saya sebut dalam ucapan, kita berada dalam zon selesa. Namun, kita tidak boleh anggap selesa sampai bila-bila disebabkan geopolitik tidak menentu dan cuaca boleh mengganggu bekalan makanan.

“Dalam taklimat semalam, Kementerian Kewangan bersedia menyediakan keperluan-keperluan mendadak yang berlaku akibat perubahan ini,” katanya.

Mohamad berkata, sektor penternakan antara yang diberi perhatian kerana Malaysia ketika ini hanya mampu mengeluarkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan daging negara.

Ujarnya, tumpuan turut diberikan kepada pengeluaran jagung bijian tempatan bagi menampung keperluan makanan haiwan ruminan.

“Pembiayaan Agrobank diberikan berdasarkan kemampuan serta kesungguhan peminjam untuk mengusahakan projek dan membuat bayaran balik secara profesional.

“Agrobank lebih kepada servis berorientasikan rakyat dan khusus untuk masyarakat pertengahan serta bawahan, dengan pinjaman di bawah RM20 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post El Nino jadi fokus Bajet 2027 KPKM appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved