
KLUANG – Angkatan Pertahanan Awam (APM) melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas kenaikan elaun daripada RM8 kepada RM9 bagi peringkat anggota manakala daripada RM9.80 kepada RM10.80 untuk pegawai bagi penugasan sejam menerusi pengumuman Belanjawan 2027 yang diumumkan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pj (PA) Ghazali Abd Rahman berkata, walaupun kenaikkannya nampak kecil namun ia secara tidak langsung akan memberikan semangat dan galakan kepada petugas untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
Katanya, selain itu, APM turut memperoleh kelulusan bagi pembelian 17 unit bot dua alam (amfibiacraft) yang akan dapat mempercepat dan meningkatkan kadar operasi menyelamat khususnya di kawasan yang terjejas akibat bencana banjir dan kejadian lemas.
Jelasnya lagi, APM hari ini sedang mengorak langkah ke arah APM Masa Hadapan iaitu sebuah organisasi yang lebih profesional, tangkas, berteraskan teknologi serta berpaksikan data yang diyakini rakyat.
“Tranformasi ini bukan sekadar melibatkan pemodenan aset dan logistik namun turut merangkumi perubahan kerja, pembangunan modal insan, pendigitalan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan komunikasi strategik.
“Saya percaya bahawa naratif pengurusan bencana pada masa kini dan akan datang bukan lagi sekadar melaporkan sesuatu kejadian tetapi mampu membentuk masyarakat yang bersedia sebelum bencana, bertindak dengan betul dan bangkit sebagai komuniti berdaya tahan selepas bencana,” katanya ketika hadir ke Majlis Perasmian Penutupan Program Jalinan Strategik APM bersama Media Zon Selatan 2026 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan di Kluang hari ini.
Mengulas berkaitan program, Ghazali berharap hubungan strategik yang terjalin antara APM dan pihak media akan terus diperkasa sebagai satu jaringan komunikasi antara dua pihak – KOSMO! ONLINE
The post Elaun Angkatan Pertahanan Awam naik RM1 appeared first on Kosmo Online.






