Rakyat P. Pinang nikmati bas elektrik Rapid Penang hari ini

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 12:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rakyat P. Pinang nikmati bas elektrik Rapid Penang hari ini

GEORGE TOWN – Kerajaan mempergiat usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan menerusi pengenalan bas elektrik (EV) bagi perkhidmatan Rapid Penang, bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan,Anthony Loke Siew Fook berkata, iisiatif itu merupakan sebahagian daripada langkah peralihan kepada sistem pengangkutan awam lebih mesra alam, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Dasar Pengangkutan Negara.

Menurutnya, pengenalan bas elektrik itu turut menjadi perkembangan penting dalam usaha memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Pulau Pinang, seiring dengan kemajuan teknologi dan keperluan mobiliti rakyat.

“Pengenalan bas elektrik bukan sahaja mencerminkan komitmen terhadap pengangkutan lebih mampan, malah sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu dan cekap

“Ini adalah bas EV yang pertama untuk Pulau Pinang. Kita menyaksikan di Pulau Pinang sekarang ini perkembangan projek LRT Laluan Mutiara, bukan sahaja dapat memperkukuh rangkaian pengangkutan awam negeri pada masa hadapan, dan lebih penting, projek ini berjalan lancar sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bas elektrik Rapid Penang di Depoh Weld Quay di sini, tadi.

Jelasnya, Rapid Bus merancang memperoleh sebanyak 1,600 bas elektrik secara berperingkat untuk kegunaan Rapid KL dan Rapid Penang.

“Bagi perolehan awal, sebanyak 250 bas elektrik akan diterima secara berperingkat, dengan 175 diperuntukkan kepada Rapid KL manakala 75 lagi untuk Rapid Penang.

“Sehingga 13 Oktober lalu, Rapid Bus telah menerima 52 bas elektrik bagi peringkat awal, termasuk 15 buah untuk Rapid Penang yang terdiri daripada 14 bas berukuran 8.25 meter dan sebuah bas berukuran 12 meter,” katanya sebanyak 150 unit pengecas disediakan di sembilan depoh, termasuk tiga depo di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau berkata, aspek keselamatan pengguna perlu diberikan perhatian memandangkan bas elektrik beroperasi dengan bunyi yang lebih senyap berbanding bas konvensional.

Justeru katanya, perancangan trafik, kemudahan lintasan pejalan kaki dan kesedaran orang ramai perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan risiko kemalangan. -KOSMO! ONLINE

The post Rakyat P. Pinang nikmati bas elektrik Rapid Penang hari ini appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved