Elaun guru KAFA naik bukti Islam tidak dipinggirkan di Pulau Pinang

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 3:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Elaun guru KAFA naik bukti Islam tidak dipinggirkan di Pulau Pinang
AMK Pulau Pinang menyifatkan kenaikan elaun guru KAFA serta tambahan elaun imam, bilal dan siak sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan umat Islam.

GEORGE TOWN – Kenaikan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM200 serta penambahan elaun imam, bilal dan siak membuktikan kebajikan umat Islam di Pulau Pinang terus diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, peningkatan elaun itu bukan kali pertama dilaksanakan kerana guru KAFA turut menerima kenaikan sebanyak RM200 pada Julai tahun lalu.

“Ini bukan kenaikan yang pertama. Pada Julai 2025, elaun guru KAFA telah dinaikkan sebanyak RM200 dengan tambahan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.2 juta setahun pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid mengumumkan elaun guru dan ketua guru KAFA di negeri itu masing-masing dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM1,700 dan RM1,800 sebulan berkuat kuasa Oktober ini.

Menurut Mohamad, kenaikan tersebut hasil daripada peningkatan kutipan zakat semasa dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan guru KAFA terus terpelihara.

Katanya, kenaikan itu melibatkan seramai 1,650 guru di 208 premis KAFA serta 14 sekolah berkaitan KAFA.

Mengulas perkara itu, Muhammad Zakwan berkata, pencapaian berkenaan wajar diberikan perhatian kerana masih terdapat pihak yang memainkan naratif bahawa kerajaan negeri yang diterajui Kerajaan Perpaduan kononnya mengabaikan kepentingan Islam.

“Jika benar Islam dipinggirkan, mengapa elaun guru KAFA terus dinaikkan? Mengapa kebajikan imam, bilal dan siak sentiasa ditambah baik?

“Mengapa sokongan terhadap pendidikan dan institusi Islam terus diperkukuhkan?” soalnya.

Beliau berkata, slogan politik tidak seharusnya mengatasi fakta, rekod pentadbiran dan dasar yang telah dilaksanakan.

Dalam pada itu, Muhammad Zakwan berkata, AMK Pulau Pinang menghormati usaha negeri-negeri lain termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam menguruskan hal ehwal Islam mengikut keupayaan serta struktur pentadbiran masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, Pulau Pinang mempunyai rekod yang jelas dalam memperkukuh kebajikan umat Islam apabila bantuan dan sokongan kepada golongan berkenaan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Pulau Pinang merupakan sebuah negeri majmuk yang ditadbir secara bersama oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menurut beliau, kemajmukan masyarakat tidak menjadikan kedudukan Islam terjejas, malah kepentingan umat Islam tidak sewajarnya dijadikan modal politik untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Bagi AMK Pulau Pinang, menjaga kebajikan umat Islam bukanlah pertandingan untuk menentukan siapa paling lantang berslogan.

“Sebaliknya, ia perlu diukur berdasarkan dasar, peruntukan dan kebajikan yang dinikmati rakyat,” katanya.

Muhammad Zakwan berkata, rekod kerajaan negeri dapat dinilai melalui tindakan yang telah dilaksanakan termasuk peningkatan elaun dan peruntukan berkaitan kebajikan guru KAFA serta pegawai masjid.

Beliau berharap komitmen tersebut akan terus diperkasakan, khususnya dalam meningkatkan kebajikan guru KAFA, pegawai masjid, sekolah agama, institusi tahfiz serta pembangunan generasi muda Islam di negeri itu.

“Jangan takutkan rakyat dengan slogan. Lihat rekod dan nilai tindakan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved