Jangan selindung spiritualiti New Age di sebalik selawat, zikir – Mufti

LocalOpinion
23 Sep 2026 • 2:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan selindung spiritualiti New Age di sebalik selawat, zikir – Mufti

GEORGE TOWN – Umat Islam dinasihatkan tidak menyelindungi perbuatan spiritualiti New Age di sebalik selawat dan zikir, susulan tular video yang memaparkan penggunaan ‘singing bowl’ atau mangkuk bunyi bersama ungkapan keagamaan Islam.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, mutakhir ini terdapat kecenderungan sebahagian pihak menggabungkan amalan tersebut atas nama ‘healing’, ketenangan jiwa dan terapi spiritual.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana sesuatu amalan tidak menjadi Islamik hanya kerana diselitkan selawat, zikir atau ayat al-Quran.

“Syariat tidak menilai sesuatu amalan berdasarkan nama dan penampilan luaran sahaja, sebaliknya turut melihat hakikat, falsafah, tujuan dan kepercayaan yang mendasarinya.

“Selawat kepada Rasulullah SAW ialah ibadah yang mulia dan jangan dijadikan ‘pakaian Islam’ untuk mengabsahkan ritual yang asas pemikiran serta kerangka spiritualnya asing daripada ajaran Islam,” katanya di sini.

Jelas beliau, isu penggunaan singing bowl tidak boleh dilihat sebagai persoalan alat muzik semata-mata, sebaliknya konteks dan tujuan penggunaannya perlu diteliti.

Katanya, jika alat itu digunakan dalam aktiviti seperti ‘sound healing’, ‘sound bath’, meditasi atau terapi spiritual yang dikaitkan dengan chakra, aura, ‘energy cleansing’, getaran dan tenaga kosmik, ia sudah menyentuh persoalan akidah dan metafizik.

“Sebahagian konsep tersebut mempunyai kaitan dengan spiritualiti kontemporari yang dikenali sebagai New Age, yang mencampurkan pelbagai unsur kerohanian Timur, esoterisme, metafizik dan kepercayaan alternatif.

“Jangan hanya menukar ‘cosmic energy’ kepada ‘energi Ilahi’, mantra kepada selawat atau ‘energy cleansing’ kepada pembersihan energi melalui zikir, kemudian keseluruhan ritual itu diperkenalkan sebagai Islamic healing,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan dakwaan yang mengaitkan zikir, selawat atau ayat al-Quran dengan teori ‘frekuensi spiritual’ tertentu tanpa sandaran syarak atau bukti saintifik yang sah.

“Selawat ialah ibadah, al-Quran ialah wahyu dan zikir ialah pengabdian kepada Allah, bukannya instrumen untuk mengaktifkan chakra atau memanipulasi tenaga kosmik. Islam tidak memerlukan chakra, aura atau teori vibration untuk menjelaskan ketenangan yang diperoleh melalui zikir,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, masyarakat dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menuduh seseorang sebagai musyrik atau telah terkeluar daripada Islam hanya kerana menggunakan singing bowl.

Katanya, terdapat perbezaan antara menghukum sesuatu amalan sebagai salah atau bercanggah dengan syarak dengan menghukum akidah individu tertentu.

“Penentuan terhadap seseorang individu memerlukan penelitian mengenai apa sebenarnya yang dipercayainya. Sekiranya singing bowl digunakan semata-mata sebagai alat menghasilkan bunyi tanpa sebarang kepercayaan terhadap kuasa ghaib, aura, chakra atau tenaga tertentu, ia tidak boleh secara automatik dihukum sebagai syirik.

“Namun, sekiranya ia dijadikan ritual kerohanian dan disertai kepercayaan terhadap chakra, aura, tenaga ghaib, kuasa frekuensi atau pembersihan spiritual melalui getaran, umat Islam hendaklah menjauhinya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Jangan selindung spiritualiti New Age di sebalik selawat, zikir – Mufti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved