
Kota Kinabalu: Elemen yang mencerminkan identiti Sabah atau “Citra Sabah” akan dimasukkan dalam kurikulum baharu Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun depan.
Ia susulan persetujuan mengenai perkara pendidikan yang dibincangkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata perkembangan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pendidikan antara perkara yang dibincangkan dalam usaha terus memperkukuh pendidikan di Sabah berdasarkan kandungan, persetujuan dan terma MA63.
“Antara perkara yang kita sudah persetujui ialah memasukkan Citra Sabah dalam kurikulum sekolah.
“Dengan persetujuan dan sokongan ini, kita boleh melaksanakannya seawal kurikulum baharu tahun depan dan memasukkan elemen Citra Sabah dalam kurikulum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Sekolah Menengah Sains Sabah (Smesh) dan SK Buit Hill di Bukit Padang pada Jumaat.
Fadhlina berkata pelaksanaannya akan dimulakan menerusi kurikulum baharu Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.
Beliau berkata inisiatif itu penting dalam memperkukuh hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung menerusi pendidikan.
Menurutnya ia juga akan membolehkan generasi muda memahami dan menghargai identiti serta warisan budaya Sabah yang kaya melalui kurikulum sekolah.
Fadhlina berkata perbincangan di bawah MA63 bukan hanya tertumpu kepada perkara berkaitan kurikulum malah beberapa isu pendidikan lain membabitkan Sabah turut ditangani.
Jelas beliau antaranya termasuk penempatan guru baharu serta pelantikan pengetua dan guru besar yang menurutnya kini berada pada peringkat akhir penyelesaian.
Beliau turut melahirkan kepuasan terhadap perkembangan perbincangan MA63 sambil menyifatkan kerjasama dan sokongan Sabah serta Sarawak penting dalam memastikan perkara berkaitan pendidikan dapat dilaksanakan.
Dalam ucapannya sebelum itu Fadhlina berkata beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts Mustapha Sakmud menghadiri mesyuarat MTPMA63 pada sebelah pagi.
Katanya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting dalam menangani keperluan pendidikan Sabah serta memastikan pembangunan pendidikan negeri itu terus diberi perhatian.
Fadhlina berkata isu pendidikan yang telah berlarutan sekian lama tidak seharusnya dibiarkan tanpa penyelesaian hanya kerana penyelesaiannya rumit.
“Jika ada kekangan kita akan cari jalan. Jika ada permohonan yang sudah tersangkut bertahun-tahun, kita teliti satu persatu supaya akhirnya ada keputusan yang jelas untuk rakyat,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib serta pegawai kanan lain.





