
KUALA LUMPUR, 29 Jun 2026 – Element X Strategies secara rasmi mengumumkan bahawa mereka tidak akan memperbaharui lesen sebagai penganjur Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur, sekali gus menamatkan penglibatan syarikat itu selepas tiga edisi yang disifatkan berjaya mengangkat semula budaya automotif Jepun dan dunia kereta ubah suai di Malaysia.
Menurut syarikat itu, keputusan tersebut dibuat selepas berjaya mencapai segala sasaran yang ditetapkan sepanjang tempoh penganjuran, selain mahu memberi tumpuan kepada pembangunan sebuah acara automotif baharu yang lebih komprehensif dan berskala besar.
Element X Strategies berkata, ketika dunia mula pulih daripada pandemik COVID-19, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur menjadi platform penting dalam menghidupkan semula minat terhadap budaya Japanese Domestic Market (JDM) dan industri kereta modifikasi tempatan.
Sepanjang tiga tahun penganjuran, acara itu bukan sahaja menghimpunkan pembina kenderaan, pengeluar, jenama dan peminat automotif, malah turut menyumbang kepada kebangkitan semula komuniti serta penganjuran pelbagai acara automotif di Malaysia.
Dalam kenyataan sama, Element X Strategies merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama menjayakan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur, termasuk rakan strategik, penaja, pempamer, peserta, media, sukarelawan serta pengunjung yang hadir sepanjang tiga edisi penganjuran.
Walaupun menutup lembaran sebagai penganjur Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur, syarikat itu menegaskan perjalanan mereka dalam industri automotif masih diteruskan.
Element X Strategies mendedahkan bahawa mereka kini sedang merancang sebuah acara automotif utama (flagship event) yang bakal menawarkan pengalaman lebih besar, lebih berani dan lebih interaktif, melangkaui konsep pameran automotif konvensional.
Acara baharu itu dijangka menggabungkan pelbagai elemen termasuk budaya automotif, hiburan, gaya hidup, inovasi serta pengalaman interaktif di bawah satu bumbung.
Selain itu, kandungan yang menjadi tarikan utama sepanjang tiga tahun lalu seperti kereta modifikasi bertaraf dunia, penyertaan antarabangsa serta pelbagai aktiviti menarik akan kembali dalam skala yang lebih besar.
Element X Strategies menyifatkan penutupan bab Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu yang diyakini mampu membawa pengalaman automotif ke tahap lebih tinggi.
Syarikat itu turut memberi bayangan bahawa pengumuman rasmi mengenai acara baharu tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.
The post Element X Strategies Tamatkan Penganjuran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur, Bersedia Lancar Acara Automotif Baharu Lebih Besar appeared first on TW Media.






