amree22/06/2026 - 09:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jun — Prospek sektor automotif negara dijangka berdepan cabaran apabila kitaran penggantian kenderaan lama kepada baharu mula semakin perlahan, menurut analisis MBSB Research.
Perkembangan negatif tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, sekali gus menyebabkan jumlah keseluruhan volum industri (TIV) diunjur menyusut 4% kepada 788,000 unit untuk sepanjang tahun ini.
Jelasnya, meskipun jualan pada Mei 2026 masih berada dalam jangkaan, momentum pertumbuhan dijangka sederhana berikutan permintaan pengguna semakin lemah selepas tempoh pembelian agresif sebelum ini.
"TIV bagi Mei 2026 cuma 61,250 unit, susut 12.1% tahun ke tahun (YoY), menjadikan jumlah terkumpul lima bulan pertama tahun ini sebanyak 315,568 unit atau penurunan 1.5%," kata MBSB Research lagi.
Bagaimanapun jumlah tersebut tambah firma berkenaan, mewakili kira-kira 40% daripada unjuran TIV tahunannya dan masih lagi dianggap sebagai selari dengan jangkaan kebanyakan analisis awal mereka.
Dalam segmen pengeluar nasional, Proton muncul sebagai peneraju pertumbuhan apabila jualan bagi lima bulan pertama 2026 meningkat 39.6% tahun ke tahun, dipacu pelancaran beberapa model baharu.

Ujar MBSB Research, model Proton Saga terus kekal sebagai model yang paling laris dengan sejumlah 37,234 unit berjaya didaftarkan setakat Mei 2026, meningkat 44.4% YoY berbanding tahun sebelumnya.
"Perodua namun sebaliknya, mencatatkan penurunan jualan sebanyak 22% YoY pada Mei 2026, manakala jualan terkumpul sepanjang lima bulan pertama pula susut 9.1%," jelas firma penyelidikan tersebut.
Bagi segmen bukan nasional, Mazda merekodkan pertumbuhan tertinggi apabila jualan naik 35.3% dalam tempoh lima bulan pertama 2026, dipacu sambutan kukuh Mazda 3 yang diperkenalkan akhir tahun lalu.
MBSB Research secara keseluruhan mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan MBM Resources Berhad kekal sebagai pilihan utama berikutan pendedahannya kepada prestasi Perodua.
Selain itu kata firma berkenaan, kumpulan tersebut dijangka terus mendapat banyak manfaat daripada pergerakan kadar pertukaran yen Jepun berbanding ringgit yang lebih memihak kepada syarikat.
"Saham MBM Resources kini didagangkan pada paras satu sisihan piawai di bawah purata sejarah lima tahun serta menawarkan hasil dividen menarik sekitar 10.5%," jelasnya. - DagangNews.com






