Hubungan antara Elon Musk dan pasukan OpenAI boleh dikatakan tidak begitu baik. Untuk makluman, Elon Musk sebelum ini antara yang terawal dalam pasukan pengasas OpenAI, namun telah keluar disebabkan perbezaan pendapat. Lanjutan daripadanya, Elon Musk juga tidak bersetuju dengan OpenAI yang telah menyatakan hasrat untuk berubah menjadi sebuah entiti berasaskan keuntungan.
Selari dengannya, Elon Musk pada bulan Februari 2025 lepas telah membida untuk membeli OpenAI pada nilai $97.4 bilion, dengan sasaran mengembalikan ia kepada bentuk sumber terbuka dan memfokuskan kepada pembangunan kecerdasan buatan dengan fokus terhadap keselamatan. Ketika itu, CEO OpenAI menolak tawaran berkenaan.

Selepas itu Elon Musk telah menyaman OpenAI dengan mengatakan firma berkenaan melanggar kontrak dan berusaha dalam menghentikan OpenAI daripada berubah menjadi syarikat berasaskan keuntungan.
Sebagai melawan perkara berkenaan, OpenAI sendiri telah memfailkan saman, mengatakan bidaan Elon Musk menjejaskan perniagaan syarikat mereka, selain Elon Musk yang menyerang OpenAI secara terbuka di media sosial.
Mengikut dokumen mahkamah yang difailkan minggu ini, ia dilihat Elon Musk telah meminta Mark Zuckerberg untuk membantu beliau dalam bidaan mengambil-alih OpenAI pada awal 2025 lepas. Ketika itu, EloN Musk dikatakan cuba membentuk sebuah konsortium dalam melakukan bidaan untuk mengambil-alih OpenAI.
Namun, ia dikatakan Mark Zuckerberg atau Meta tidak menandatangani perjanjian berkenaan.



