
Individu terkaya di dunia, Elon Musk, mengumumkan akan memberikan dua saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS), dengan nilai keseluruhan hampir AS$18 bilion (RM75 bilion).
Menerusi satu hantaran ringkas di platform X miliknya, Musk menjelaskan setiap kanak-kanak akan menerima satu saham daripada SpaceX dan satu lagi daripadanya secara peribadi.
Sebelum ini, SpaceX mengumumkan pada Rabu bahawa syarikat itu akan menyumbangkan satu saham baharu jenis Class A kepada setiap akaun Trump Account yang masih aktif, manakala Musk akan memberikan jumlah saham yang sama sebagai sumbangan tambahan.
Program Trump Account diperkenalkan bagi membolehkan setiap rakyat Amerika berusia bawah 18 tahun memiliki pelaburan dalam pasaran saham, sekali gus membantu mereka membina simpanan dan kekayaan sejak kecil.
Pihak White House memaklumkan bulan lalu bahawa hampir 70 juta akaun sudah dibuka menerusi program berkenaan.
Elon Musk Umum Beri Saham SpaceX Kepada Kanak-Kanak AS
Saham SpaceX ditutup pada harga AS$127.44 (RM536) sesaham pada Rabu, menjadikan keseluruhan sumbangan yang dijanjikan Musk bernilai hampir AS$18 bilion (RM75 bilion).
Bagaimanapun, SpaceX masih belum memberikan maklum balas berhubung persoalan sama ada saham yang disumbangkan Musk secara peribadi turut akan disalurkan menerusi program Trump Account.
Dalam satu lagi hantaran, Musk berkata saham daripada SpaceX akan dipindahkan kepada penerima pada bulan depan, manakala saham sumbangannya sendiri akan diberikan kemudian.
“Saham yang diberikan terus daripada saya akan dipindahkan selepas tempoh sekatan penjualan saham saya tamat pada Jun tahun depan,” katanya.
Pada Oktober lalu, Musk yang memiliki kekayaan bersih sekitar AS$824 bilion (RM3.47 trilion) turut mengumumkan hasrat untuk memberikan satu saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di Amerika.
“Ini merupakan yang pertama daripada banyak lagi sumbangan akan datang,” katanya menerusi hantaran di X ketika itu.
Sehingga Jun lalu, Musk dilaporkan memiliki kira-kira 6.42 bilion saham dalam SpaceX.
Sebahagian besar kegiatan kebajikan Musk pula disalurkan menerusi Musk Foundation, yang dilaporkan memiliki aset bernilai sekitar AS$16 bilion (RM67.4 bilion).
Pada Oktober lalu, Presiden SpaceX, Gwynne Shotwell dan suaminya turut berjanji menyumbangkan masing-masing satu saham SpaceX kepada lebih dua juta kanak-kanak menerusi inisiatif Trump Account.
Dalam perkembangan berkaitan, Musk dan syarikat kecerdasan buatan (AI) pesaingnya, Anthropic, baru-baru ini mendedahkan pendekatan berbeza dalam mengagihkan keuntungan hasil perkembangan pesat teknologi AI.
Anthropic yang mula disenaraikan di pasaran saham awal bulan ini mengumumkan akan memperuntukkan lima peratus daripada saham syarikat kepada sebuah dana baharu bagi tujuan kebajikan awam.
Menurut syarikat itu, dana berkenaan yang dianggarkan bernilai AS$54 bilion (RM227 bilion) berdasarkan harga saham semasa akan memberikannya lebih banyak ruang dan kemampuan untuk menyalurkan sumbangan demi manfaat manusia.
Baca juga:Antara tokoh korporat lain yang turut terkenal dengan kegiatan kebajikan berskala besar ialah bekas Pengerusi Berkshire Hathaway, Warren Buffett, yang dilaporkan sudah menyumbangkan kira-kira AS$60 bilion (RM252 bilion) daripada kekayaannya.
Buffett juga berhasrat untuk menyumbangkan sebahagian besar baki kekayaannya yang dianggarkan bernilai AS$150 bilion (RM631 bilion).
Sementara itu, Gates Foundation dilaporkan sudah menyalurkan sumbangan melebihi AS$100 bilion (RM421 bilion) sejak penubuhannya pada 2000, termasuk dana yang diterima daripada Buffett.





