
PETALING JAYA: Kerajaan perlu menetapkan sekitar 25 murid bagi setiap kelas Tahun Satu supaya bilik darjah tidak sesak jika kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun diwajibkan mulai 2029.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun masih aktif, justeru bilangan guru perlu mencukupi supaya mereka dapat dibimbing dengan baik.
Katanya, beliau bersetuju dengan cadangan itu kerana kanak-kanak berpeluang menguasai kemahiran asas lebih awal.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan sekolah mempunyai kemudahan dan bilangan guru yang mencukupi.
“Apabila negara maju melaksanakan dasar kemasukan usia enam tahun ini, ia turut disertakan dengan kemudahan yang baik, bilangan guru yang mencukupi dan bilik darjah yang tidak sesak, sekitar 20 hingga 25 orang murid sahaja.
“Kita tidak boleh membiarkan satu kelas yang mempunyai 45 hingga 50 orang murid diuruskan oleh seorang guru sahaja. Ia sangat sukar untuk dikawal dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan, kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu dicadang diwajibkan mulai 2029.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, Kementerian Pendidikan juga perlu memastikan guru mempunyai kemahiran mengendalikan murid berusia enam tahun.
“Kadang-kadang kita mempunyai guru yang cukup, tetapi mereka kurang mahir menguruskan kanak-kanak pada usia yang terlalu muda.
“Jika guru kurang mahir dan bersikap tidak sabar, ia boleh menjejaskan psikologi dan mental anak-anak kerana mereka masih terlalu muda,” katanya.
Beliau berkata, kurikulum Tahun Satu juga perlu memberi ruang kepada murid untuk belajar melalui aktiviti bermain, sesuai dengan usia mereka.
“Jika kurikulum kita terlalu menjurus kepada akademik, peperiksaan dan ujian semata-mata, mereka akan hilang semangat dan minat untuk belajar,” katanya.
Menurut Anuar, persediaan ke Tahun Satu perlu bermula di prasekolah kerana kanak-kanak yang tidak mengikuti pendidikan awal pada usia empat atau lima tahun berisiko ketinggalan dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).-UTUSAN
The post Kelas Tahun Satu perlu dihadkan kepada 25 murid appeared first on Utusan Malaysia.


