Emas Meroket Lagi Sentuh $4,600, Pelabur Fokus Jackson Hole

Business & Finance
24 Aug 2026 • 9:40 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Emas Meroket Lagi Sentuh $4,600, Pelabur Fokus Jackson Hole

XAU/USD didagangkan tinggi melebihi $4,600 pada pembukaan minggu apabila ia menyambung rentak positif sejak minggu lepas susulan pembelian semula bon Amerika Syarikat.

Pada jam 9 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,620 iaitu naik kira-kira 0.50% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.

Bullion meneruskan momentum positif selepas melonjak lebih 2% pada Jumaat dan mencatat paras tertinggi lebih tiga bulan sekitar $4,632. Secara mingguan, emas meningkat lebih 5% selepas menembusi paras purata bergerak 200 hari sekitar $4,513.

Dolar AS Kekal Jadi Pemacu Emas

Kelemahan Dolar AS terus menjadi antara pemacu utama kenaikan emas.

Tekanan terhadap USD meningkat susulan kebimbangan mengenai hutang kerajaan AS serta langkah Jabatan Perbendaharaan meningkatkan pembelian balik bon jangka panjang. Langkah tersebut sebelum ini membantu menekan hasil bon dan mengurangkan daya tarikan USD.

Namun, hasil bon AS masih berada pada paras tinggi. Hasil bon 10 tahun ditutup sekitar 4.737%, manakala hasil bon 30 tahun berada pada 5.276%, menunjukkan tekanan dalam pasaran bon masih belum reda sepenuhnya.

Jackson Hole Jadi Fokus Utama

Perhatian pasaran kini beralih kepada Simposium Jackson Hole yang berlangsung minggu ini.

Ucapan Pengerusi Federal Reserve, Kevin Warsh, pada Jumaat bakal menjadi tumpuan kerana pelabur mahu mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah AS.

Pasaran juga akan meneliti data PCE AS, ukuran inflasi yang menjadi antara rujukan utama Fed. Sebarang petunjuk bahawa tekanan inflasi semakin reda berpotensi mengukuhkan jangkaan pelonggaran dasar dan memberi sokongan tambahan kepada emas.

Risiko Geopolitik Masih Beri Sokongan

Selain faktor Fed dan USD, ketegangan di Timur Tengah masih menjadi perhatian pasaran.

Harga minyak kekal tinggi berikutan risiko gangguan bekalan dari Iran dan Selat Hormuz, manakala pasaran turut menunggu perkembangan berkaitan sekatan AS terhadap Iran. Faktor ini berpotensi meningkatkan permintaan terhadap emas sebagai aset perlindungan.

INTRADAY.MY Forecast

Emas berpotensi mengekalkan momentum bullish selagi USD kekal lemah dan harga berjaya bertahan di atas zon $4,600.

Jika momentum berterusan, paras $4,700 menjadi tumpuan seterusnya. Namun, pergerakan harga dijangka lebih volatile menjelang ucapan Kevin Warsh di Jackson Hole dan data PCE AS.

Jackson Hole bakal menjadi ujian penting sama ada emas mampu meneruskan kenaikan atau mula mengambil keuntungan selepas lonjakan lebih 5% minggu lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved