
KEMAMAN – Seorang pengguna akaun Facebook yang diburu sejak minggu lalu kerana disyaki mengeluarkan hantaran didakwa mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap institusi raja, kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya ditahan pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki berusia 39 tahun tersebut diberkas di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.
“Sebuah telefon bimbit dan dua keping simkad yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran di Facebook berkenaan telah dirampas bagi membantu siasatan.
“Ia telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan analisis forensik digital,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, suspek ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.
Terdahulu, Kosmo! 15 Ogos lalu melaporkan PDRM membuka kertas siasatan terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan hantaran didakwa mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap institusi raja, kerajaan Malaysia dan agensi keselamatan tersebut.
Mohd. Razi dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemilik Facebook melakukan demikian kerana tidak berpuas hati dengan operasi bersepadu dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Pantai Penunjuk Kijal, di sini pada pukul 6.30 petang, 14 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Pengguna Facebook maki Polis Kemaman diberkas di Damansara Damai appeared first on Kosmo Digital.






