Emits meterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Emits meterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Image from: Emits meterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE amree19/10/2026 - 12:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt — Penyedia perkhidmatan pembuatan antena, Emits Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku keempat 2026.

 

Kumpulan yang berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sejak memulakan perkhidmatan pembuatan pada 2016. Syarikat itu menyediakan perkhidmatan pembuatan antena, merangkumi reka bentuk, pengeluaran, pemasangan dan pengujian.

 

Menurut kenyataan, kumpulan tersebut turut mempunyai ramai pelanggan tempatan dan antarabangsa, yang kebanyakannya merupakan syarikat tersenarai atau syarikat multinasional. Emits turut mengekalkan pelanggan pertamanya sejak memulakan operasi pada 2016.

 

"IPO melibatkan terbitan 93.754 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 37.502 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 20% dan 8% daripada modal saham terbitan diperbesarkan kira-kira 468.769 juta saham selepas penyenaraian," katanya.

 

Daripada saham baharu itu, sebanyak 23.439 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui proses pengundian, manakala 11.719 juta saham ditawarkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Baki 58.596 juta saham baharu dan keseluruhan 37.502 juta saham tawaran untuk jualan akan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. Mercury Securities akan menaja jamin 35.158 juta saham baharu kepada orang awam Malaysia dan di bawah peruntukan khas.

 

Emits_DagangNews2026

 

Pengarah Urusan Kumpulan Emits, Ts Loy Boon Liang dalam kenyataan berkata, antena radio mobil darat (LMR) yang digunakan secara luas dalam radio mudah alih dan walkie-talkie merupakan produk utama kumpulan berkenaan sejak penubuhannya pada Oktober 2015.

 

"Syarikat ini turut berpengalaman mengeluarkan pelbagai antena jenis 'dome' dan 'embedded' yang kebanyakannya sering digunakan dalam aplikasi pihak automotif serta perindustrian," jelasnya.

 

Menurut beliau, kumpulan berkenaan sudah melabur dalam pembelian mesin dan peralatan baharu sebagai persediaan untuk mengeluarkan antena stesen pangkalan teknologi telekomunikasi 5G, sejajar dengan strategi mempelbagaikan produk dan pelanggan.

 

Hasil daripada IPO itu akan digunakan bagi menyokong modal kerja projek baharu serta pembelian mesin dan peralatan tambahan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Langkah itu bertujuan meningkatkan penawaran produk dan keupayaan pembangunan kumpulan.

 

Boon Liang menambah, permintaan antenna turut dijangka meningkat seiring dengan penggunaan peranti dalam pelbagai aplikasi moden ketika ini, termasuk bidang telekomunikasi, automotif, elektronik pengguna serta sektor aeroangkasa dan pertahanan. 

 

Beliau turut menyatakan keyakinan rekod prestasi dan hubungan pelanggan jangka panjang akan membantu kumpulan merebut peluang daripada pertumbuhan permintaan tersebut. Emits mengeluarkan produknya di kilang sendiri di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

 

Pasaran luar negara menyumbang lebih 70% daripada hasil kumpulan, dengan Amerika Syarikat (AS) dan Jerman sebagai pasaran utama. Mercury Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved