amree16/10/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — Pertumbuhan hasil sektor telekomunikasi dijangka kekal sederhana meskipun CelcomDigi Berhad dan Maxis Berhad memperoleh peruntukan spektrum baharu daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menurut BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berpandangan peruntukan berkenaan mengukuhkan kedudukan rangkaian kedua-dua syarikat, namun tidak dijangka mengubah sebarang prospek pertumbuhan industri atau memacu trajektori hasil secara material dalam tempoh yang terdekat.
Ujarnya, cabaran asas sektor berkenaan masih lagi tidak berubah, termasuk pertumbuhan hasil perkhidmatan yang perlahan, persaingan sengit serta ketidaktentuan kesan perakaunan ekuiti berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB).
Di bawah peruntukan baharu itu, CelcomDigi Telecommunications Sdn Bhd menerima spektrum 2x20MHz dalam jalur 2600MHz bagi tempoh empat tahun dan 2x5MHz dalam jalur 900MHz bagi tempoh lima tahun, dengan bayaran pendahuluan berjumlah RM381.75 juta.
Maxis pula jelas BIMB Securities, menerima peruntukan 2x10MHz dalam jalur 2600MHz dengan bayaran pendahuluan RM203 juta serta fi tahunan berjumlah RM84 juta sepanjang tempoh empat tahun.
Bagi CelcomDigi, peruntukan itu membolehkan gabungan pegangan spektrum secara bersebelahan, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan spektrum dan menyokong prestasi rangkaian. Spektrum tambahan jalur 900MHz pula memperkukuh liputan geografi dan sambungan dalam bangunan.

"Langkah ini lebih kepada mengukuhkan daya saing rangkaian jangka panjang CelcomDigi berbanding menjadi pemacu baharu pertumbuhan keuntungan. Syarikat itu juga mempunyai portfolio spektrum yang kukuh merentasi jalur frekuensi rendah, sederhana dan kapasiti tinggi," katanya.
Bagi Maxis ujar BIMB Securities, penambahan kapasiti baharu ini dilihat akan memberi lebih fleksibiliti untuk mengurus peningkatan trafik data daripada pelanggan, khususnya di kawasan bandar yang mempunyai penggunaan data tinggi.
Walaupun kedua-dua syarikat dijangka mendapat manfaat kecekapan dan kapasiti rangkaian, ia berpandangan kos spektrum masih terkawal berbanding aliran tunai operasi dan kekuatan kunci kira-kira mereka. Namun, penambahan spektrum tidak secara automatik meningkatkan hasil.
Justeru firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' bagi CelcomDigi dengan harga sasaran (TP) RM3.30 sesaham, manakala saranan 'jual' pula untuk Maxis dikekalkan dengan TP masih RM3.30 sesaham.
Secara keseluruhan, BIMB Securities mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan Axiata Group Berhad kekal sebagai pilihan utama firma itu dengan saranan 'beli dan TP RM3.00 sesaham.
Perkembangan tersebut ujarnya, disokong usaha pengoptimuman aset, transformasi portfolio ke arah teknologi sebagai pemacu pertumbuhan baharu serta potensi peningkatan pembayaran dividen oleh kumpulan itu. - DagangNews.com





