Empat balai bomba baharu diluluskan di Pahang menerusi RMK13

27 Nov 2026 • 12:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat balai bomba baharu diluluskan di Pahang menerusi RMK13
Mohammad Fakhruddin

KUANTAN - Empat balai bomba baharu telah diluluskan di negeri ini menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, balai berkenaan ialah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Benta, BBP Tioman, BBP Tanjung Lumpur serta BBP Gambang.

Menurutnya, tempoh pembinaan dijangka mengambil masa sehingga 30 bulan dari tarikh pemilikan tapak.

"Pembinaan balai bomba baharu memerlukan penilaian dan kajian teliti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam beberapa aspek sebelum boleh dilaksanakan.

"JBPM sentiasa mengkaji dan mengenal pasti keperluan pembinaan BBP baharu bagi memperluas perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Rosli Abdul Jabar (Pas-Tanjung Lumpur) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Mohammad Fakhruddin berkata, penilaian pembinaan balai bomba itu dilaksanakan dengan teliti berdasarkan risiko kebakaran, kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk.

Katanya, faktor geografi, jarak dan masa tindak balas pasukan ke lokasi turut diambil kira.

Jelas beliau, bagi tempoh 2016 hingga 2025, enam balai bomba baharu telah dibina dan beroperasi sepenuhnya, manakala sebuah lagi sedang dalam fasa pembinaan iaitu di Gohtong Jaya.

"Balai bomba yang beroperasi terdiri daripada BBP Chini, BBP Kuala Tahan, BBP Kuala Krau, BBP Sungai Koyan, BBP sementara Pulau Tioman dan BBP Sungai Lembing.

"Pembinaan BBP Gohtong Jaya kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved