Empat Band Popular Bakal Gamatkan Pentas Destiny Of Music 2.0!

15 Oct 2024 • 6:05 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

Susulan sambutan luar biasa terhadap Konsert Destiny of Music pada bulan Jun lalu, syarikat B De Paris Project selaku penganjur utama dan Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment selaku penganjur bersama dengan berbesar hati membawakan edisi kedua Konsert Destiny of Music 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 15 November 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Kembali lebih bertenaga dengan persembahan pentas yang pastinya memukau, Konsert Destiny of Music 2.0 bakal menampilkan empat band popular tanah air iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks yang akan menghiburkan para penonton dengan lagu-lagu hits mereka selama dua jam tanpa henti.

Mengulas lanjut mengenai Konsert Destiny of Music 2.0, Burhan Ahmad selaku Ketua Pegawai Eksekutif, B De Paris Project yang juga merupakan penganjur konsert berkata kejayaan konsert julung kali diadakan beberapa bulan lalu mendorong mereka untuk terus menganjurkan edisi kedua.

"Kejayaan dan penerimaan positif yang diterima sewaktu penganjuran edisi yang pertama baru-baru ini telah mendorong kami untuk terus menganjurkan lebih banyak konsert-konsert sebegini. 

"Selain dapat mengukuhkan lagi kedudukan B De Paris Project dalam industri hiburan tempatan, penganjuran ini juga mampu memartabatkan serta memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan menerusi platform yang ada sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan. 

"Kami juga amat berbesar hati di atas kesudian barisan artis seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Imsoniacks dan Empty Page yang sudi bekerjasama dengan kami untuk menjayakan konsert ini.