
Polis Gua Musang tahan empat warga tempatan disyaki seludup enam warga asing dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Syabu turut dirampas dalam operasi Ahad lepas.
KOTA BHARU: Polis menahan empat warga tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan enam warga asing dalam operasi di Jalan Gua Musang-Lojing di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata kesemua suspek tempatan, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 36 tahun dipercayai membawa warga asing berkenaan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang pada 4 Okt, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang mengekori tiga kenderaan yang mencurigakan dari arah Jalan Gua Musang-Kota Bharu menghala ke Jalan Gua Musang-Lojing.
“Ketiga-tiga kenderaan terbabit cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan selepas dikejar.
“Pemeriksaan ke atas kereta Toyota Vios mendapati enam warga asing, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta Myanmar, gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sik berkata polis turut merampas tiga kenderaan iaitu Toyota Vios, Honda Jazz dan Mini Cooper serta lima telefon bimbit bagi membantu siasatan, selain menemukan bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.45 gram dalam satu daripada kenderaan itu.
Beliau berkata kes utama disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang suspek disiasat secara berasingan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu lain yang terlibat termasuk rangkaian penyeludupan berkenaan,” katanya.





