Empat faktor jadikan Negeri Sembilan destinasi pelaburan perindustrian baharu - RHB Research

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 10:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Empat faktor jadikan Negeri Sembilan destinasi pelaburan perindustrian baharu - RHB Research Image from: Empat faktor jadikan Negeri Sembilan destinasi pelaburan perindustrian baharu - RHB Research hamden28/09/2026 - 10:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept - Kedudukan strategik, ekosistem perindustrian yang semakin maju, asas kos kompetitif serta ruang pembangunan yang luas dan saluran projek perindustrian masa depan yang besar menjadi empat faktor utama yang berpotensi meningkatkan daya tarikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan baharu.

 

RHB Research dalam laporan khusus berkaitan potensi pembangunan Negeri Sembilan berkata, gabungan kelebihan itu menyediakan asas kepada Negeri Sembilan untuk mengembangkan kapasiti perindustrian, khususnya ketika negeri berkenaan berusaha menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, aeroangkasa dan pembuatan maju.

 

Menurutnya, kedudukan Negeri Sembilan yang berhampiran Kuala Lumpur dan Lembah Klang memberikan akses kepada pasaran, pembekal serta perkhidmatan perniagaan yang telah tersedia, selain berpotensi menawarkan asas kos lebih rendah berbanding lokasi yang lebih matang.

 

"Hubungan dengan KLIA, Pelabuhan Klang serta rangkaian jalan raya dan rel yang lebih luas turut menyokong peranan Negeri Sembilan sebagai pangkalan pembuatan dan logistik," katanya.

 

Ekosistem perindustrian bersepadu

Faktor kedua ialah pembangunan ekosistem perindustrian yang semakin bersepadu, dengan taman perindustrian sedia ada, industri sokongan, infrastruktur logistik dan tenaga kerja menyediakan asas untuk syarikat berintegrasi dengan rantaian bekalan sedia ada.

 

Tumpuan perindustrian di Senawang, Nilai dan Bandar Enstek turut berkembang kepada aktiviti bernilai lebih tinggi termasuk semikonduktor dan E&E, kejuruteraan, farmaseutikal serta bioteknologi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Johor, Negeri Sembilan dan pembentukan Koridor Pertumbuhan Selatan Malaysia

 

Firma itu berkata peningkatan tumpuan industri pelengkap berpotensi mengukuhkan rangkaian pembekal, memudahkan limpahan pengetahuan dan teknologi serta meningkatkan kecekapan pengeluaran.

 

Negeri Sembilan juga dijangka mendapat manfaat daripada integrasi dengan ekosistem perindustrian Wilayah Tengah yang lebih luas, merangkumi Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

 

"Inisiatif ini bertujuan membina asas pengeluaran bernilai tinggi yang lebih bersepadu dengan memanfaatkan keupayaan saling melengkapi dalam E&E, aeroangkasa, farmaseutikal dan pembuatan makanan, selain kejuruteraan serta industri sokongan," katanya.

 

Integrasi lebih besar merentasi sempadan negeri juga boleh meluaskan akses syarikat kepada pembekal khusus, tenaga mahir dan perkhidmatan sokongan.

 

Kos kompetitif

Faktor ketiga ialah asas kos yang kompetitif dan ketersediaan ruang pembangunan, dengan hanya sekitar 12.6% daripada tanah Negeri Sembilan dibangunkan.

 

Keadaan itu memberikan ruang yang besar untuk menampung aktiviti perindustrian baharu dan kemudahan berskala lebih besar.

 

Ketersediaan tanah industri, digabungkan dengan kos tanah dan operasi yang agak rendah, boleh meningkatkan daya saing kos syarikat serta membolehkan pengembangan kapasiti dari semasa ke semasa.

 

Kedekatan dengan pusat ekonomi utama turut meningkatkan daya tarikan gabungan kos dan ruang pembangunan berkenaan.

 

negeri
Salah satu projek pusat data yang sedang giat dijalankan di Negeri Sembilan. - Gambar/RHB

 

Peluang perindustrian masa depan yang besar

Sementara itu, faktor keempat ialah saluran pembangunan perindustrian masa depan yang besar, yang boleh menyokong peningkatan ekonomi Negeri Sembilan dalam jangka panjang.

 

Pembangunan terancang dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pembuatan maju berpotensi memperdalam keupayaan perindustrian negeri serta menyokong peralihan beransur-ansur ke arah asas industri yang lebih khusus dan bernilai tinggi.

 

Pelan induk Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), yang merangkumi kira-kira 3,477 hektar tanah industri baharu, menyediakan rangka kerja penting bagi pengembangan tersebut.

 

Bersama Kerajaan Negeri, pemaju swasta turut memperkenalkan zon perindustrian yang menyasarkan aktiviti pertumbuhan tinggi termasuk pembuatan maju, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan pembangunan mampan.

 

Antara projek yang mencerminkan perubahan itu ialah NS Aerospace Valley (NSAV) di Tanah Merah yang dibangunkan sebagai ekosistem aeroangkasa, dengan aktiviti berpotensi merangkumi pembuatan aeroangkasa serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

 

Techpark@Enstek Fasa 3 pula dijangka mengembangkan asas perindustrian sedia ada kepada sektor halal, teknologi makanan, farmaseutikal dan aktiviti bernilai lebih tinggi lain, manakala Sungai Gadut Industrial Park dirancang sebagai kawasan perindustrian berteknologi tinggi.

 

Penambahbaikan infrastruktur maritim dan logistik Port Dickson juga boleh menyokong pembangunan aktiviti perindustrian dan rantaian bekalan.

 

Firma itu berkata manfaat daripada pengembangan tersebut boleh melangkaui sektor pembuatan apabila projek perindustrian baharu menjana permintaan terhadap logistik, hartanah, utiliti, peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain, khususnya di sekitar Seremban dan Port Dickson.

 

Pada masa sama, pelaburan dalam pertanian, pemprosesan agro dan pelancongan boleh mempelbagaikan sumber aktiviti ekonomi di daerah lain.

 

"Ini boleh menyokong model pertumbuhan berasaskan pelaburan yang lebih pelbagai, dengan pembangunan perindustrian menghasilkan kesan limpahan lebih luas merentasi ekonomi negeri," katanya.

 

Penilaian 

Sehubungan itu, penganalisis mengekalkan pandangan OVERWEIGHT terhadap kaunter berkaitan hartanah dan infrastruktur, dengan melihat potensi peningkatan pelaburan pembuatan dan teknologi bernilai tinggi di negeri berkenaan.

 

Antara kaunter yang menjadi idea saham bertemakan Negeri Sembilan ialah Eco World, IJM, Sunway, Matrix Concepts, Gamuda, Kerjaya Prospek, Inta Bina, Sime Darby, SD Guthrie dan Sunway Construction.

 

Penganalisis melihat kumpulan kaunter tersebut mempunyai kaitan dengan tema pembangunan hartanah, infrastruktur dan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang di Negeri Sembilan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved