
Kota Kinabalu: Penganugerahan kepada tokoh persuratan dan kesenian Islam Nusantara menjadi kemuncak sambutan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Ke-14, 2026 yang berlangsung di Sabah dari 28 hingga 31 Oktober lalu.
Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani berkata penganugerahan itu bukan sekadar simbol penghargaan tetapi manifestasi penting terhadap kelangsungan perkembangan sastera dan kesenian Islam dalam mendepani arus globalisasi serta kemajuan teknologi.
“Pengiktirafan ini turut mencerminkan ketokohan dan kepakaran penerima dalam bidang persuratan dan kesenian Islam pada peringkat serantau dan nasional,” katanya.
“Semasa majlis penutupan rasmi program itu di Dewan Seri Wawasan Pimping, Membakut, empat tokoh menerima Anugerah Tokoh Mahrajan 2026 berkenaan ialah Helvy Tiana Rosa dari Jakarta, Indonesia, Amiruddin Ali Hanafiah dari Johor, Abdul Karim Gullam dari Tenom dan Amin Muin dari Membakut.
“Pemberian anugerah berkenaan adalah atas sumbangan besar masing-masing dalam bidang persuratan dan kesenian Islam Nusantara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Setiap penerima membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta sijil penghargaan.
Hadiah disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Majlis penutupan itu turut dimeriahkan dengan persembahan lagu puisi Islam oleh tokoh seni terkenal Indonesia, Sujiwo Tejo selain persembahan nasyid.
Terdahulu sepanjang empat hari penganjuran, Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara turut menampilkan pelbagai pengisian antaranya program Semarak Persuratan di sekolah, Nadwah Sastera Islam serta sayembara berkaitan kesenian Islam.




