
MEMBAKUT: Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam terus memperkukuh peranannya sebagai platform penting dalam memperkasa jaringan budaya serantau, khususnya dalam bidang persuratan dan kesenian Islam di peringkat Asean.
Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani berkata program itu bukan sahaja menghidupkan khazanah seni warisan Islam malah menjadi medan pertemuan sasterawan, budayawan dan pencinta seni daripada pelbagai latar belakang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran program itu yang sekali lagi memilih Membakut sebagai lokasi rasmi bagi edisi tahun ini.
Menurut Jasni, pemilihan Membakut sebagai lokasi penganjuran sejak 2012 merupakan keputusan strategik kerana masyarakat di daerah itu terkenal dengan pelbagai produk kesenian berunsurkan Islam.
Beliau berkata daerah itu juga sinonim dengan acara kebudayaan yang mencerminkan identiti serta tradisi masyarakat Melayu Brunei yang kaya dengan nilai keislaman.
“Penganjuran edisi kali ini menampilkan pelbagai pengisian menarik dan berimpak tinggi, termasuk program Semarak Mahrajan Persuratan di Sekolah (Semarak) yang melibatkan empat sekolah terpilih di sekitar Membakut, Beaufort dan Bongawan.
“Bagi menyokong usaha pembudayaan ilmu di peringkat akar umbi, pusat sumber sekolah terbabit turut menerima sumbangan bahan bacaan ilmiah dan kreatif seperti novel, cerpen dan puisi,” katanya.
Sumbangan buku berunsurkan Nadwah Sastera Islam itu disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Arif, selaras dengan slogan “Membangun Dengan Ilmu” bagi daerah Membakut.
Selain itu, pelbagai aktiviti berteraskan kreativiti turut diadakan bagi mencungkil bakat generasi muda, antaranya pertandingan menulis khat peringkat Borneo.
Penganjuran tahun ini turut menampilkan malam persembahan kesenian Islam, pelancaran buku baharu serta sayembara deklamasi puisi yang dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah di Membakut, Bongawan dan Beaufort.
Jasni berkata kemuncak rangkaian program itu dijadualkan berlangsung pada 31 Okt 2026, manakala majlis penutupan dan penganugerahan Tokoh Kesenian Islam Nusantara akan diadakan di Dewan Seri Wawasan, Pimping, di sini.
Majlis itu dijangka disempurnakan oleh Mohd Arifin sendiri.






