Sultan Nazrin sampaikan 26 anugerah kecemerlangan pendidikan Islam Perak

29 Oct 2026 • 1:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Nazrin sampaikan 26 anugerah kecemerlangan pendidikan Islam Perak
Sultan Nazrin Shah (dua dari kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Khas Pendidik Tahun 2026 kepada Mohd Zulkhairi Mohd Nor pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1448H / 2026M hari ini. Foto: Bernama

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda pada jam 11 pagi itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.

Penganjuran kali ke-13 itu menyaksikan sebanyak 26 anugerah dalam pelbagai kategori disampaikan kepada 124 penerima sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar, guru dan pengurusan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Senarai penerima ialah 45 individu yang menerima Anugerah Sijil Tahfiz Negeri Perak (STNP), diikuti 30 penerima Anugerah Hafiz Muda dan 23 penerima Sijil Pengajian Masjid.

Anugerah Hafiz Muda diberikan kepada pelajar berusia 17 tahun ke bawah yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran serta lulus penilaian hafazan yang merangkumi keseluruhan juzuk berkenaan.

Sementara itu, penerima Sijil Tahfiz Negeri Perak terdiri daripada individu berusia 16 tahun ke atas yang lulus peperiksaan bertulis dan lisan, dengan penganugerahan pangkat mumtaz (cemerlang), jayyid jiddan (sangat baik), jayyid (baik) dan makbul (lulus) berdasarkan pencapaian masing-masing.

Bagi Sijil Pengajian Masjid Negeri Perak pula, penerima dianugerahkan Shahadah Al-Dirasah Al-Diniyah menerusi inisiatif Masjid Sultan Idris Shah II yang menyediakan pengajian Islam secara tersusun dan berterusan meliputi bidang akidah, fiqah, tasawuf, hadis, tafsir dan sirah Nabawiyah.

Turut diberikan pengiktirafan ialah tujuh penerima anugerah sekolah terbaik bagi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Sijil Rendah Agama Islam (SRAI), Idadi, Thanawi, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), selain tujuh penerima anugerah murid terbaik bagi kategori peperiksaan berkenaan.

Anugerah Pengurusan Terbaik Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (Aiman), Tadika Islam dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) pula diberikan kepada tiga penerima.

Turut tersenarai, dua guru menerima Anugerah Guru Cemerlang Tadika Islam dan Kafa, dua lagi penerima menerima Anugerah Penyelia Cemerlang Kafa dan Tadika Islam, manakala tiga individu diberikan Anugerah Jasamu Dikenang.

Majlis turut menyaksikan penyampaian dua Anugerah Khas Pendidik Tahun 2026 kepada Mohd Zulkhairi Mohd Nor dan Agus Lokman Sulam atas sumbangan serta pencapaian masing-masing dalam bidang pendidikan dan keagamaan.

Mohd Zulkhairi, anak kelahiran Selama, diiktiraf atas peranannya sebagai pengerusi bersama jawatankuasa kerja Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Kontemporari ICCE23 peringkat antarabangsa.

Agus Lokman, anak kelahiran Teluk Intan pula merupakan penerima pengiktirafan Tokoh Imam Mithali Peringkat Kebangsaan 2026.

Dalam majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan pelancaran Manual Urus Keselamatan Makanan dan Halal Institusi Pendidikan Islam Negeri Perak (MUKMIN Perak)

MUKMIN Perak diwujudkan bertujuan memperkukuh aspek keselamatan makanan dan pematuhan standard halal di semua peringkat institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Manual berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN Perak) dan JAIPk bagi menyediakan panduan rasmi berkaitan pengendalian makanan yang selamat serta memenuhi keperluan syariat Islam.

Ia turut menjadi panduan kepada pentadbir institusi pendidikan Islam, penyelia asrama, pengusaha kantin, tukang masak dan pembekal bahan mentah dalam memastikan makanan yang disediakan kepada pelajar bersih, selamat dan halal.

Antara penekanan manual itu ialah langkah pencegahan keracunan makanan, khususnya di sekolah dan asrama, menerusi amalan pengendalian makanan yang betul serta pendekatan 'Lihat, hidu, rasa' bagi meningkatkan kepekaan terhadap keadaan makanan sebelum disajikan atau dimakan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved