
KULIM – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Nurul Ehsan Sungai Karangan, di sini petang ini apabila empat kanak-kanak yang maut akibat lemas disemadikan di dalam satu kubur.
Jenazah Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan adik tirinya, Muhammad Arif Naufan, 8, serta rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, selamat dikebumikan kira-kira pukul 5.45 petang tadi.
Lebih 1,000 ahli keluarga, penduduk, guru serta rakan-rakan sekolah mangsa hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, kesemua jenazah disembahyangkan di masjid tersebut selepas tiga jenazah dibawa pulang sebentar ke Surau Taman Desa Kayangan, manakala satu lagi ke Kampung Baru Gajah Merangkak.
Proses bedah siasat ke atas semua mangsa dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Kosmo! Online pada semalam melaporkan empat kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai ketika mahu mengambil bola dalam kejadian di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, di sini.
Dua mangsa berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi masing-masing berusia lapan dan 10 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. – KOSMO! ONLINE
The post Empat kanak-kanak lemas disemadikan dalam satu kubur appeared first on Kosmo Online.





