Jenazah Empat Kanak-Kanak Lemas Disemadikan Dalam Satu Liang

15 Sep 2026 • 8:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Jenazah Empat Kanak-Kanak Lemas Disemadikan Dalam Satu Liang

KULIM, 15 Sept (Bernama) -- Jenazah empat kanak-kanak mangsa lemas selepas terjatuh dalam longkang di Taman Desa Kayangan, dekat sini semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Nurul Ehsan, Sungai Karangan dekat sini, kira-kira 5.45 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta rakan mereka Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, yang dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar tiba di surau Taman Desa Kayangan pada 3.30 petang.

Jenazah seorang lagi mangsa, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Baru Gajah Merangkak, dekat sini.

Kesemua jenazah kemudian dibawa ke Masjid Jamek Nurul Ehsan untuk disolatkan.

Sementara itu, bapa Muhammad Zafril Arsyad, Muhamad Azrin Saidin, 35, berkata dia membawa anak sulung daripada tiga beradik itu bersama-sama sewaktu bekerja di taman perumahan itu kerana bimbang meninggalkannya di rumah.

Baca juga:

"Dia (Muhammad Zafril Arsyad) demam... tidak pergi ke sekolah. Jadi saya bawa dia ke tempat kerja kerana kalau saya tinggalkan di rumah, saya bimbang dia ikut kawan pergi memancing sebab dia minat memancing.

"Saya ingatkan bila ikut saya mungkin tiada masalah. Dia main bola di padang tetapi tidak sangka ini yang terjadi," katanya kepada pemberita.

Muhamad Azrin berkata arwah anaknya yang bersekolah sama dengan dua lagi mangsa kejadian itu aktif bermain bola sepak sejak kecil.

"Isteri saya (Siti Aishah Abdullah, 30) sarat mengandung dan dijangka bersalin November ini. Arwah pernah cakap pada ibunya, 'nanti abang tiada, adik (bayi lelaki dalam kandungan ibunya) yang akan menggantikan dirinya'," katanya.

Muhamad Azrin berkata Muhamad Zafril Arsyad meminta kek sempena hari lahirnya Julai lepas dan dia sempat menunaikan hasrat anaknya.

"Kalau dengan saya, dia suka buat perangai macam-macam, nak saya marah. Julai lepas, hari jadi dia, dia beria minta kek dan saya belikan untuk dia," katanya.

Empat kanak-kanak yang bersahabat itu dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai ketika cuba mengambil bola, dalam kejadian petang semalam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved