Tragedi ambil bola dalam longkang: Kelibat terakhir 4 kanak-kanak maut dirakam CCTV

15 Sep 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tragedi ambil bola dalam longkang: Kelibat terakhir 4 kanak-kanak maut dirakam CCTV
Empat kanak-kanak lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di Kulim pada Isnin.

KULIM - Kelibat terakhir empat kanak-kanak yang maut selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, di sini dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah penduduk pada 5.30 petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk taman berkenaan, Mohd Hafiz Jaafar berkata, kejadian itu, bagaimanapun hanya disedari selepas seorang daripada penduduk memaklumkan tentang penemuan mayat seorang kanak-kanak menerusi aplikasi WhatsApp penduduk taman pada 7.20 malam.

"Ketika kejadian, saya baru pulang dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, lalu terus menyertai usaha mencari kanak-kanak itu. Berdasarkan rakaman CCTV, mereka kali terakhir dilihat pada 5.30 petang semalam.

"Mula-mula hanya jumpa dua orang, namun selepas seorang waris memaklumkan mangsa yang ditemukan bukan anaknya, pencarian diteruskan sehingga penemuan dua lagi kanak-kanak," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Ambil bola dalam longkang, polis sahkan empat kanak-kanak meninggal dunia

4 budak maut: Tak sempat beli kasut bola sepak, bapa hilang dua anak serentak

Dua kanak-kanak lemas dalam longkang, dua lagi dikejarkan ke hospital

'Sudah Maghrib adik belum pulang, jumpa hanya jasad'

Beliau berkata seorang daripada dua kanak-kanak itu disahkan anak waris berkenaan dan pencarian ditamatkan.

Mohd Hafiz berkata, waris kanak-kanak itu datang untuk kerja pemasangan bumbung tambahan sebuah rumah penduduk di taman itu dan anaknya turut bermain bersama-sama tiga lagi mangsa.

"Petang semalam cuaca hujan, berdasarkan rakaman CCTV, mereka dipercayai mengutip bola yang jatuh ke dalam longkang.

"Selepas itu, kelibat mereka tidak lagi kelihatan sebelum ditemukan di kawasan longkang berkenaan," katanya yang memaklumkan kejadian seumpama itu kali pertama berlaku di kawasan perumahan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Mohd Hafiz berkata, barisan jawatankuasa penduduk akan mengadakan perbincangan bagi meningkatkan aspek keselamatan di taman berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan Muhammad Azlan Md Isa berkata, kehilangan tiga murid tahun enam dan lima sekolah itu sangat memilukan.

"Pagi tadi kami adakan bacaan Yasin semasa perhimpunan dan akan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang terlibat," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, empat kanak-kanak lelaki, Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di taman perumahan itu ketika cuba mengambil bola. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved