Empat lelaki diberkas dipercayai merusuh, cederakan seorang individu

30 Aug 2026 • 8:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat lelaki diberkas dipercayai merusuh, cederakan seorang individu
Empat lelaki diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan seorang individu yang ditemukan dalam keadaan cedera parah di tepi jalan di Taman West Country pada Sabtu. Foto hiasan

KAJANG - Empat lelaki diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan seorang individu yang ditemukan dalam keadaan cedera parah di tepi jalan di Taman West Country di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.28 pagi membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah akibat diserang menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu yang dikenali.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kemudian menjalankan gerakan mengesan suspek sebelum berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an di sekitar Kajang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Naazron berkata, pemeriksaan mendapati kesemua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek telah direman selama empat hari sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek negatif dadah, manakala seorang lagi positif Methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek yang positif dadah turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian selain mengesan individu lain yang mempunyai kaitan serta maklumat berhubung kes ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-253 0380 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved