
PORT DICKSON – Empat individu berusia 19 hingga 21 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan, di Jalan Bypass Port Dickson di sini awal pagi tadi, termasuk seorang yang dikesan mempunyai kaitan dengan kes curi di Senai, Johor.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, semakan dibuat melalui sistem Integrated Police Reporting System (IPRS) berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang diperiksa pihaknya dalam operasi berkenaan.
“Berdasarkan semakan, nombor pendaftaran kenderaan adalah seperti yang dilaporkan hilang di Senai, Johor. Suspek berusia awal 20an akan di bawa reman pagi ini bagi membantu siasatan.
“Dalam operasi ini, kita membuat pemeriksaan terhadap 45 kenderaan dan 65 individu. Hasil pemeriksaan itu, empat tangkapan dibuat membabitkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Selain itu, satu tangkapan membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 108 APJ 1987 berkaitan pindaan atau ubah suai maklumat pendaftaran kenderaan serta satu lagi di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kes curi yang dilaporkan di Senai, Johor,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi yang sama, kira-kira 85 saman atau kompaun dikeluarkan kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE
The post Merempit guna motosikal curi appeared first on Kosmo Digital.






