
BATU PAHAT: Empat lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ahli perniagaan sebelum dibuang dalam sungai, awal bulan ini.
Tertuduh, S. Yogesvaran, 40; Lim Yong Ming, 26; N. Achutan 32; dan How Han Wei, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Semua tertuduh secara bersama didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara pukul 2.35 petang, pada 29 Julai lalu di hadapan kedai makan di Jalan Emas Putih 2, Taman Sri Skudai, Johor Bahru hingga 12.30 tengah hari, pada 3 Ogos lalu di Sungai Tanjung Sembrong, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim manakala Yogesvaran, Yong Ming dan Han Wei diwakili peguam SJ Sean Dudley manakala Achutan diwakili Datin Freda Sabapathy.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan Forensik telefon bimbit.
Terdahulu, polis menahan lima suspek susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun, terapung dalam keadaan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja dekat sini, awal bulan ini.
Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai lalu dan ahli keluarganya hanya menemukan kenderaannya di Johor Bahru.
Berdasarkan siasatan awal polis, suspek dipercayai membunuh mangsa dengan menjerut leher menggunakan tali dan ia dipercayai adalah akibat hutang.
Suspek kemudian membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan sebelum mengikat kedua-dua tangan menggunakan pita pelekat serta membalut jasadnya menggunakan jaring. – UTUSAN
The post Empat lelaki didakwa bunuh ahli perniagaan appeared first on Utusan Malaysia.





