Mayat Dibungkus Dengan Jaring: 4 Lelaki Didakwa Bunuh Usahawan 

17 Aug 2026 • 1:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mayat Dibungkus Dengan Jaring: 4 Lelaki Didakwa Bunuh Usahawan 

BATU PAHAT - Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret  di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang usahawan sebelum mayat mangsa ditemui dibungkus dan diikat dengan jaring di sebuah sungai.

Keempat-empat tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40; Lim Yong Ming, 26; Achuthan Nagarajan, 32; dan How Han Wei, 33.

Yogesvaran, seorang pemandu lori, Yong Ming dan Achuthan yang merupakan kelindan lori serta Han Wei, seorang peniaga kenderaan terpakai, mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Keempat-empat mereka didakwa secara bersama membunuh Low Kai Xian, 39, di antara sebuah gerai makan di Jalan Emas Putih, Taman Sri Skudai, Johor Bahru dan Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 29 Julai hingga 3 Ogos.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, kesemua tertuduh berdepan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim.

Yogesvaran, Yong Ming dan Han Wei diwakili Datin Fareda Sabapathy, manakala Achuthan diwakili Sean Dodley Samuel Jayarajan.

Kesemua tertuduh tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.10 pagi dengan kawalan keselamatan ketat.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh sebutan semula ditetapkan sementara menunggu laporan bedah siasat, DNA, forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta forensik telefon bimbit.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkaitan.

Sebelum ini, Kai Xian dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 29 Julai selepas dia gagal dihubungi.

Polis kemudiannya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 12.30 tengah hari, 3 Ogos, berhubung penemuan satu mayat.

Hasil siasatan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan pita pelekat, selain terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian pinggang dan lengannya.

Mayat mangsa turut dibungkus dan diikat dengan jaring, manakala pemeriksaan mendapati terdapat lima ketul bata di dalam jaring berkenaan.

Motif kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan hutang. - Getaran, 17 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved