
Kota Kinabalu: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan mengedar 329 gram ganja.
Tiada pengakuan direkodkan daripada penghantar makanan, Mazlan Mayasin, 45; pegawai perhubungan, Abdul Manan Amjiah, 45; pemandu, Jamil Rinoh Anuar, 37; dan pemandu e-hailing, Mohamad Ariff Amran, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu pada 17 Julai lalu kira-kira jam 7.23 malam di hadapan lobi Likas Square Apartment 1, Likas.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta 12 sebatan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan ahli kimia dan tidak menawarkan jaminan memandangkan pertuduhan berkenaan tidak memperuntukkan jaminan.
Mahkamah menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan kesemua tertuduh terus ditahan reman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh.






