Nahas 3 Beranak Maut: Buruh Mengaku Tidak Bersalah Memandu Bawah Pengaruh Dadah

31 Jul 2026 • 6:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Nahas 3 Beranak Maut: Buruh Mengaku Tidak Bersalah Memandu Bawah Pengaruh Dadah

KAJANG - Seorang lelaki berusia 42 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga dalam kemalangan di Hulu Langat, Rabu lalu.

Tertuduh, Mohd Norazlan Mohd Tamyiz, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd Norazlan didakwa memandu sebuah Perodua Aruz ketika berada di bawah pengaruh dadah berbahaya methamphetamine sehingga mengakibatkan kematian Hafifi Rahmat, 34, isterinya Nik Aishah Asilah Nik Mohd Zamzuri, 32, dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun, Muhammad Rafie Hanzal Hafifi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Batu 17, Hulu Langat, kira-kira jam 7.56 pagi 29 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh turut berdepan hukuman hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sabitan, atau 20 tahun bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya mengikut Seksyen 44(3) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Farhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam S. Priyalatha yang mewakili Mohd Norazlan memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal yang menyara isteri, dua anak serta ibu bapanya yang sudah lanjut usia.

Beliau turut memaklumkan tertuduh bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta mengarahkan beliau melapor diri di balai polis pada hari pertama setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan laporan patologi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.56 pagi, 29 Julai lalu, motosikal dinaiki tiga beranak itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof sebelum ini dilaporkan berkata siasatan awal mendapati SUV berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa.

Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Getaran, 31 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved