Dua lelaki Acheh didakwa edar 147.2 kg syabu guna jalan laut

31 Jul 2026 • 2:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua lelaki Acheh didakwa edar 147.2 kg syabu guna jalan laut

BALIK PULAU – Dua lelaki Acheh bakal berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar 147.2 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di perairan Teluk Kumbar, dua minggu lalu.

Tertuduh, Junaidi, 51, dan Irfansyah, 30, bagaimanapun hanya mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting. Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 113.77 kg pada 17 Julai 2026, kira-kira pukul 7.15 petang di kawasan perairan Teluk Kumbar, dalam daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, di lokasi, tarikh dan masa yang sama, mereka didakwa mengedar dadah berbahaya jenis cecair methamphetamine seberat 33.412 kg.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Sofi Jafar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.

Semasa prosiding, Mohamad Sofi memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan kimia berhubung rampasan dadah itu masih belum siap dan memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia disiapkan tanpa sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Pada 24 Julai lalu, Kosmo! Online melaporkan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan menggunakan jalan laut sekali gus merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM5.69 juta, 17 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Dua lelaki Acheh didakwa edar 147.2 kg syabu guna jalan laut appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved