
SHAH ALAM, 29 OKT: Empat lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan api di sebuah rumah di Kulai Besar, Kulai, dua minggu lalu.
Tertuduh, Yap Tze Hong, 31; Muhamad Amirul Ezlan Masrihan, 28; Muhammad Khairul Abd Bahrin, 27, dan Chen Jie Ming, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api membakar rumah milik P Rajagopal, 73, di Lorong 5, Kulai Besar, Kulai, kira-kira 1.30 pagi, 13 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan adalah tidak boleh dijamin.
"Bagaimanapun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan terhadap tertuduh, pendakwaan mencadangkan jumlah RM25,000 bagi setiap seorang tertuduh berserta tiga syarat tambahan.
"Ketika tangkapan, tertuduh pertama dan keempat (Tze Hong dan Jie Ming) memberikan kerjasama, namun tertuduh kedua dan ketiga (Muhamad Amirul Ezlan dan Muhammad Khairul) tidak memberikan kerjasama sehingga pihak polis terpaksa melakukan tangkapan dalam rumah secara paksaan," katanya.
Namun, jumlah jaminan yang dicadangkan itu dibantah semua tertuduh atas alasan ia terlalu tinggi.
Tze Hong diwakili peguam, GK Sritharan, Muhammad Khairul diwakili peguam Siti Rashidah Abd Aziz.
Peguam Lim Chon Sin pula mewakili Jie Ming, manakala Muhamad Amirul Ezlan tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan Tze Hong dan Jie Ming diikat jamin sebanyak RM8,000 seorang, manakala Muhamad Amirul Ezlan dan Muhammad Khairul masing-masing RM10,000 seorang.
Mahkamah turut menetapkan tiga syarat tambahan kepada semua tertuduh iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November depan.
Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan berlaku kebakaran rumah di penempatan warga Rohingya di sekitar Kulai Besar yang dipercayai berpunca daripada balingan bom petrol.





