
GUA MUSANG – Polis sudah mengenal pasti identi empat sekeluarga dan dua malim gunung yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi ketika menyertai pendakian Gunung Trans Gerah di Hutan Simpan Kekal Lojing di sini.
Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, empat sekeluarga itu merupakan pasangan suami isteri, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan Siti Zulaiha Norizan, 39, bersama dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, yang beralamat dari Yong Peng, Johor.
Katanya, selain itu, dua malim gunung yang terlibat ialah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 44, dari Dabong, Kuala Krai.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang bersiap siaga bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki termasuk dua kanak-kanak yang dikhuatiri hilang ketika mengikuti pendakian Gunung Trans Gerah, Hutan Simpan Kekal Lojing.
“Kita bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Malim Gunung Perhutanan Kelantan kini bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Choon Foo memberitahu, kekuatan keseluruhan pasukan di daerah ini membabitkan dua pegawai dan 16 anggota selain empat kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, operasi SAR turut dijalankan oleh IPD Gerik bersama agensi berkaitan dari Perak bagi mengesan kumpulan terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post Empat sekeluarga hilang ketika daki Gunung Trans Gerah berasal dari Yong Peng appeared first on Kosmo Digital.






