Polis siasat insiden pemandu lori tumbuk pemandu bas

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar rakaman video tular mengenai kejadian yang berlaku di Kilometer 28.8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli pada Selasa.

GERIK – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu insiden tular melibatkan pemandu lori yang bertindak menumbuk pemandu bas selepas berlaku kemalangan di Kilometer 28.8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 4.46 petang.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari melibatkan sebuah bas jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah Lumut menuju ke Terengganu bersama 20 penumpang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian yang berselekoh, bas tersebut telah bergesel dengan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Jeli ke Gerik.

"Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada cermin sisi bas dan tingkap sebelah kanan lori," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Abdul Samad berkata, pemandu bas kemudian meneruskan perjalanan kerana lokasi kejadian tidak sesuai untuk berhenti.

Menurutnya, seorang lagi pemandu lori berusia 49 tahun yang menyaksikan kejadian tersebut telah menghubungi pemandu lori terlibat bagi membantu menahan bas berkenaan.

"Bas itu berjaya ditahan oleh pemandu lori kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian menghala ke Hentian Titiwangsa.

"Sejurus pemandu kedua bas keluar, lelaki berusia 49 tahun itu bertindak menumbuk pipi kanan mangsa," katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Gerik sebelum dibenarkan pulang.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung video tular kejadian berkenaan di media sosial.

Sebelum ini, satu rakaman video memaparkan sebuah bas ekspres ditahan sekumpulan pemandu lori di laluan berkenaan tular di media sosial, dengan meraih ribuan tanda suka dan perkongsian.