Bukan mabuk, tapi pemandu terlelap kerana keletihan - Polis

LocalCars
8 Apr 2026 • 3:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar rakaman video tular kes kemalangan dua kenderaan di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Akmalrizal

BANTING - Polis menafikan kemalangan dua kenderaan di Jalan Sultan Abdul Samad di sini pada Isnin lalu berpunca kerana mabuk, sebaliknya hanya pemandu terlelap akibat keletihan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 8 malam.

"Kemalangan melibatkan dua kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi.

"Tiada kematian dalam kes ini dan rakaman percakapan yang direkodkan mendapati tiada unsur mabuk daripada kedua-dua pihak," katanya kepada Sinar Harian Rabu.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, beberapa rakaman video kes kemalangan itu tular di media sosial hingga mencetuskan pelbagai spekulasi punca kejadian itu.