
KAMPAR – Empat cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu masing-masing sebuah kereta Toyota Vios dan Perodua Bezza di Jalan Tronoh Mines, Kampung Ayer Hitam di sini pada pukul 9.54 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, tiga mangsa berumur 31 hingga 62 tahun di dalam kereta Toyota Vios mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu ialah seorang wanita berumur 31 tahun tersepit di bahagian kaki dan mengalami kecederaan di bahagian dada.
“Sementara itu, seorang lelaki warga emas berumur 62 tahun tidak tersepit, hanya tidak boleh keluar disebabkan kerosakan pintu kereta selain mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri,” katanya di sini hari ini.
Katanya, seorang lagi mangsa iaitu wanita warga emas berumur 62 telah telah dibawa oleh Kementerian Kesihatan untuk menerima rawatan lanjut sebelum ketibaan bomba.
“Mangsa di dalam Perodua Bezza iaitu seorang lelaki berumur 21 tahun hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke hospital terdekat menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Empat termasuk dua warga emas cedera, nahas dua kenderaan appeared first on Kosmo Online.






