
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 41 tahun cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran sebuah kilang di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), di sini, Selasa malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang berada di bahagian penumpang Proton Preve dilaporkan tidak sedarkan diri selepas kenderaan dinaikinya dipercayai bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Kurong Ak Beki berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 9.35 malam sebelum mengerahkan 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi pada jam 9.58 malam, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Preve dan Toyota Hilux.
“Terdapat seorang lelaki berusia 41 tahun berada di bahagian penumpang Proton Preve dan didapati tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menjalankan kerja mengeluarkan mangsa dari kenderaan berkenaan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa dilaporkan cedera,” katanya.
Kurong berkata pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain yang boleh menjejaskan keselamatan orang awam serta anggota penyelamat.
Katanya, operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu ditamatkan pada jam 10.22 malam selepas pemeriksaan akhir dijalankan.
Seramai 10 anggota BBP Tuaran terbabit dalam operasi berkenaan dengan tujuh anggota menaiki jentera FRT manakala tiga lagi menggunakan jentera EMRS.






