
BESUT – Keterujaan 18 peminat skuter jenis Aveta Nova 250 untuk berkonvoi ke Kuala Perlis terencat apabila dua daripada mereka yang merupakan pasangan suami isteri maut dalam kemalangan di Kampung Gong Kedak di sini, hari ini.
Kemalangan melibatkan empat kenderaan iaitu tiga skuter Aveta Nova 250 dan sebuah lori pada pukul 7.30 pagi itu mengorbankan Mohd. Zamri Mohd. Zaki, 41, dan isterinya, Norlyana Ismail, 45.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan menyertai konvoi skuter terbabit untuk bercuti ke Kuala Perlis dari Kuala Terengganu.
“Kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai juga peserta konvoi dari arah Kuala Besut di sini dikatakan termasuk laluan lori membawa muatan tanah terbabit sebelum berlaku pelanggaran.
“Ia menyebabkan lori yang dalam perjalanan ke Bachok, Kelantan itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh skuter dinaiki pasangan suami isteri (Mohd. Zamri dan Norlyana) terbabit,” katanya di sini hari ini.
Rozaime berkata, sebuah lagi skuker jenis sama dinaiki pasangan berusia 51 dan 50 tahun pula terlanggar muatan tanah dibawa lori terbabit yang terjatuh ke atas jalan raya.
Beliau berkata, mayat Mohd. Zamri dan Norlyana telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, di sini untuk tindakan lanjut.
“Tiga lagi mangsa yang cedera dihantar ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri peserta konvoi Aveta Nova 250 maut dirempuh lori appeared first on Kosmo Online.





