
ALOR SETAR – EMZI Care terus memperkukuh jenama dan memperluaskan pasaran produknya ke peringkat antarabangsa menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor baru-baru ini.
Penyertaan jenama kesihatan dan kesejahteraan tempatan di bawah Kumpulan Syarikat EMZI itu adalah dalam segmen antarabangsa iaitu Go Global, Grow Local pada 28 Ogos hingga 6 September lalu.
Pameran tersebut menjadi antara platform penting kepada EMZI Care untuk memperkenalkan rangkaian produknya kepada pengunjung, pemain industri serta rakan strategik dari dalam dan luar negara.
Selain itu, MAHA 2026 juga membuka ruang kepada syarikat dalam meneroka jaringan perniagaan dan peluang pasaran baharu.
Lebih menarik, penyertaan EMZI Care turut diserikan dengan kehadiran tiga duta produk iaitu Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Elyas Ismail.
Ketiga-tiga duta terbabit turut terlibat dalam sesi perkongsian dan interaksi bersama pengunjung selain memperkenalkan produk EMZI Care.
Sepanjang pameran berkenaan, EMZI Care mengetengahkan rangkaian produk utamanya termasuk Kopi Ala Kazim, Olive Tin, Teh Tarik Mahmudi dan Muglova.
Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat EMZI, Ahmad Amir Asyraf Ahmad Munir berkata, MAHA 2026 menjadi antara platform penting bagi EMZI Care memperkukuh kehadiran dan pengaruh jenama, selain membina jaringan dengan pasaran dan rakan strategik baharu.
“Penyertaan EMZI Care dalam MAHA 2026 menerusi segmen Go Global, Grow Local memberi ruang kepada kami untuk memperkenalkan produk dan keupayaan jenama kepada pasaran yang lebih luas.
“Pada masa sama, platform ini membuka peluang untuk membina jaringan strategik, meneroka potensi pasaran baharu dan memperluas capaian produk tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya di sini semalam.
Menurut Ahmad Amir, penglibatan pada pameran itu turut mencerminkan usaha berterusan EMZI Care untuk memperkukuh jenama, memperluas jaringan industri serta membina laluan pertumbuhan pasaran secara lebih strategik.
“Melalui penglibatan dalam platform perdagangan dan industri, EMZI Care terus meneroka peluang untuk membawa produk keluaran Malaysia ke pasaran yang lebih luas,” ujarnya.
EMZI Care memfokuskan pembangunan dan pemasaran produk kesihatan, kesejahteraan serta gaya hidup, disokong keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan serta pemasaran bagi memperluas capaian produk keluaran ke pasaran antarabangsa. -KOSMO! ONLINE
The post EMZI Care perkukuh jenama, perluaskan produk ke pasaran global appeared first on Kosmo Online.






