
PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan teruja apabila bertemu bayi yang menjadi perhatian selepas ibunya mengalami tanda bersalin semasa mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 baru-baru ini.
Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu hantaran di Facebook berkongsi detik pertemuan dengan keluarga tersebut serta bayi berkenaan.
Lebih menarik lagi, bayi tersebut yang dilahirkan di Hospital Sungai Buloh dinamakan sebagai Ahmad Madani.
“Ziarah ‘Baby MAHA’ Ahmad Madani. Semoga Ahmad Madani dan ibunya diberikan kesihatan yang baik dan membesar menjadi anak yang soleh,” katanya di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu Mohamad turut menyampaikan buah tangan serta sumbangan bernilai RM1,000 kepada bayi berkenaan.
Terdahulu, kisah kelahiran bayi berkenaan bermula apabila ibunya melalui detik cemas dan mengalami tanda-tanda hendak bersalin ketika berada di ekspo tersebut.
Menurut ibu bayi tersebut, dia pada mulanya dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh kerana lebih dekat dengan kediaman mereka. – KOSMO! ONLINE
The post Mohamad teruja bertemu ‘Baby MAHA’ appeared first on Kosmo Online.





