Dulu menangis MAHA tamat, kini Aidin tersenyum jumpa Mat Sabu

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 4:53 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dulu menangis MAHA tamat, kini Aidin tersenyum jumpa Mat Sabu

PETALING JAYA – Jika sebelum ini tangisannya kerana sedih Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 berakhir mencuri perhatian ramai, hari ini Muhamad Aidin akhirnya dapat bertemu sendiri dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Pertemuan yang dinanti-nantikan itu berlangsung apabila Mohamad menziarahi Aidin dan keluarganya di kediaman mereka.

Menerusi hantaran di Threads hari ini, Mohamad berkongsi beberapa gambar pertemuan tersebut termasuk momen beliau meluangkan masa bersama kanak-kanak berkenaan.

“Masih ingat adik yang tular menangis sebab sedih MAHA 2026 dah habis? Hari ini, Bang Mat dapat bertemu sendiri dengan adik Muhamad Aidin.

“Bang Mat berkesempatan menziarahi Aidin dan keluarganya di rumah. Alhamdulillah, kali ini Aidin tersenyum,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Aidin turut menerima cenderahati dan sumbangan sebagai tanda ingatan, manakala gambar yang dikongsikan menunjukkan kanak-kanak berkenaan menerima sumbangan RM1,000 daripada Agrobank.

Mohamad yang merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut berterima kasih kepada Aidin kerana menjadi sebahagian daripada kenangan MAHA 2026.

“Terima kasih Aidin kerana menjadi sebahagian daripada kenangan manis MAHA 2026.

“Kegembiraan anak-anak seperti Aidin menjadikan segala usaha dan penat lelah warga MAHA 2026 terasa berbaloi. Jangan nangis lagi ya Aidin. Insya-Allah, kita jumpa lagi di MAHA akan datang!” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan gelagat Aidin menangis selepas mengetahui MAHA 2026 sudah berakhir sehingga mendapat perhatian Mohamad di media sosial.

Ketika itu, Mohamad turut memujuk kanak-kanak berkenaan dengan meninggalkan pesanan supaya tidak bersedih selain mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya kerana membawa anak mereka mengunjungi MAHA.

Beberapa hari kemudian, ibu Aidin memaklumkan Mohamad bakal datang bertemu anaknya selepas video tersebut mendapat perhatian ramai. – KOSMO! ONLINE

The post Dulu menangis MAHA tamat, kini Aidin tersenyum jumpa Mat Sabu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved